Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedai keranda: Menteri tiada kuasa campur tangan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana pihak selagi ia dijalankan mengikut undang-undang.

Setiausaha politik Nga, Chiong Yoke Kong, bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai rayuan Persatuan Penduduk Seksyen 22 Petaling Jaya agar menteri campur tangan berhubung kedai keranda yang berada di kawasan perumahan mereka.

"Sebenarnya, kami (kementerian) tidak ada kuasa dalam urusan perniagaan selagi ia patuh kepada undang-undang," katanya secara ringkas kepada Malaysiakini.

Pada masa sama Chiong menyarankan persatuan terbabit merujuk semula kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selaku pihak berkuasa tempatan berkaitan sekiranya mereka ingin kedai itu dipindahkan dari kawasan berkenaan.

Semalam, pengerusi persatuan itu Parimala Nesamany merayu Nga untuk campur tangan dalam isu berkenaan selepas mendakwa penduduk 'letih' apabila rayuan sejak lima tahun lalu ditolak MBPJ.

Katanya, lebih 350 penduduk dari Seksyen 22 membantah keras ketika kedai keranda itu memohon kepada MBPJ untuk membuka perniagaan di kawasan perumahan terbabit pada 2018.

Namun, bantahan mereka tidak diberi perhatian.

Menurut Parimala, penduduk di situ tidak selesa dengan perniagaan keranda di kawasan perumahan yang menjalankan perniagaan hampir 24 jam.

Tambahnya, mereka berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta exco Selangor Ng Sze Han segera campur tangan.

Carian Malaysiakini mendapati sebanyak empat syarikat perkhidmatan pengebumian dan keranda beroperasi di kawasan pentadbiran MBPJ.

Tiga daripadanya beroperasi di kawasan komersial atau kubur, manakala satu lagi menjadi satu-satunya premis terletak di kawasan perumahan.

Sementara itu, ketika dihubungi Parimala berkata mereka kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Chiong dan menganggap kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan rayuan orang ramai.

"Baru semalam kami merayu kepada menteri, hari ini pembantunya memberi kenyataan seolah-olah dah cuci tangan.

"Mereka, tidak pun mendengar rayuan kami," katanya.

Katanya, persatuan terbabit menghantar surat rayuan kepada pejabat ketua setiausaha KPKT pada 26 Jan dan belum ada sebarang maklum balas diterima setakat ini.

"Nampaknya, kerajaan baru ini tidak banyak beza dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS