Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir Johor tambah buruk, mangsa di PPS melonjak lebih 42,000
Diterbitkan:  Mar 4, 2023 10:55 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 46,683 orang setakat malam ini berbanding 40,854 orang, petang tadi.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 42,704 orang diikuti Pahang (2,860), Negeri Sembilan (613), Melaka (448) dan Selangor (58).

Di JOHOR, daerah Kulai kembali banjir menjadikan kesemua 10 daerah di negeri itu terjejas akibat bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) merekodkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 42,704 orang setakat 8 malam ini berbanding 37,258 orang yang direkodkan setakat 2 petang tadi.

Menurut JPBN, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 13,292 orang daripada 3,888 keluarga.

Ia diikuti Batu Pahat dengan 12,286 orang daripada 3,558 keluarga; Kluang (5,292 orang, 1,543 keluarga); Muar (3,862 orang, 1,140 keluarga) dan Kota Tinggi (3,257 orang, 873 keluarga).

”Turut terjejas ialah Tangkak dengan 2,912 orang melibatkan 866 keluarga; Mersing (911 orang, 264 keluarga); Johor Bahru (517 orang, 178 keluarga); Pontian (327 orang, 87 keluarga) dan Kulai (48 orang, 11 keluarga),” menurut kenyataan itu.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan malam ini dengan 2,860 orang ditempatkan di 23 PPS berbanding 2,388 orang di 21 PPS petang tadi.

Rompin kekal merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,496 orang diikuti Temerloh 306 orang manakala Maran dan Bera masing-masing 29 orang.

Sementara itu, banjir di Jerantut telah pulih selepas PPS di daerah itu ditutup 6.30 petang tadi, namun pemantauan akan terus dijalankan.

Di MELAKA, jumlah mangsa terus meningkat setakat 8 malam ini kepada 448 orang daripada 118 keluarga berbanding 380 orang daripada 97 keluarga pada 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS di negeri itu manakala satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong telah ditutup pada 3 petang tadi.

"Di daerah Jasin seramai 63 orang daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat, 129 orang daripada 31 keluarga di PPS SK Parit Penghulu, 62 orang daripada 24 keluarga di PPS SK Parit Gantong serta 179 orang daripada 43 keluarga di PPS SK Batu Gajah.

“Di Alor Gajah, seramai 15 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun,” menurut kenyataan itu.

Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 613 orang membabitkan 153 keluarga di empat PPS di Tampin setakat 8 malam berbanding 711 orang tengah hari tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 58 orang daripada 14 keluarga berbanding 62 orang daripada 15 keluarga setakat 7.30 malam tadi.

Menurut JPBN, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor melaporkan dua PPS iaitu SK Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Sungai Buloh masih dibuka sehingga kini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS