Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa diugut untuk dipecat oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebanyak tiga kali sewaktu dia menjadi menteri kewangan.

Guan Eng berkata, ugutan untuk memecatnya dibuat selepas dia berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri untuk melaksanakan tiga inisiatif yang tidak dipersetujui Mahathir.

Tiga inisiatif itu membabitkan pemberian peruntukan tahunan RM3.8 juta kepada ahli parlimen kerajaan, kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka serta pengurangan 18 peratus tol lebuh raya PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.

“Saya berjaya mendapatkan kelulusan kabinet daripada hampir setiap menteri, untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan perdana menteri.

"Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.

"Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

"Bagaimanapun Mahathir tidak melaksanakan ugutannya, sebaliknya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas kerelaan sendiri pada Februari 2020," katanya melalui Twitter hari ini.

Lim mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa DAP tidak mampu mengawalnya semasa dia menjadi Perdana Menteri dan Guan Eng yang ketika itu menteri kewangan, terpaksa meminta kebenaran sebelum mahu melakukan sesuatu dalam kerajaan.

Menurut Lim menteri kabinet seharusnya memaklumkan kepada perdana menteri mengenai sebarang inisiatif pembaharuan yang ingin dicadangkan, namun ia bukan amalan kebiasaan tetapi untuk menghormati kedudukan perdana menteri.

Namun, katanya sekiranya perdana menteri tidak bersetuju, satu-satunya alternatif yang ada kepada menteri ialah merayu kepada kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

“Ini telah saya lakukan sebanyak tiga kali semasa menjadi menteri kewangan antara 2018 hingga 2020 dalam mendapatkan kelulusan kabinet berbanding bantahan keras Mahathir selaku perdana menteri ketika itu," katanya.