MP gesa BPR siasat Ketua Menteri Sarawak
Seorang ahli Parlimen DAP hari ini menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Seorang ahli Parlimen DAP hari ini menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, dakwaan mengenai kekayaan Taib dan keluarganya yang dianggarkan berjumlah berbilion ringgit, sudah memadai untuk menjalankan siasatan.
Beliau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat sewaktu ucapan penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.
"Sogokan sebanyak RM32 juta (untuk urusniaga balak), yang dilaporkan oleh media antarabangsa, hanya merupakan sebahagian kecil daripadanya," kata Lim.
"Kita bukan bercakap mengenai juta, atau beratus juta, tetapi berbilion. Dia telah mengumpulkan kekayaan yang begitu besar," tambahnya.
Lim merujuk kepada laporan akhbar
Japan Times
yang mendakwa syarikat perkapalan Jepun telah membayar RM32 juta kepada sebuah ejen di Hong Kong yang dikaitkan dengan Taib.
Dalam jawapannya, Nazri, yang juga bertanggungjawabkan tentang undang-undang, berkata terdapat banyak tuduhan rasuah yang dibuat.
Sumber tidak diketahui
"Tuduhannya banyak, tetapi tidak semua aduan membawa kepada pendakwaan. Perlu bertanggungjawab bila membuat tuduhan," katanya.
Nazri berkata, ada tuduhan yang dibuat oleh blogger yang tidak dikenali dan pihak akhbar kadangkala memetik isu-isu tertentu.
Bagaimanapun, katanya, hanya kerana terdapat tuduhan, tidak bermakna ia akan membawa kepada pendakwaan dan sabitan.
Bagaimanapun, Chong Chieng Jen (DAP - Bandar Kuching) berkata, tuduhan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak tidak harus dianggap sebagai satu kes biasa.
Katanya, mereka bukan orang biasa dan dalam kes ini, ia membabitkan seorang ketua menteri di mana laporan media dari Jepun dan Hong Kong telah melaporkan kaitannya.
Nazri menjawab bahawa BPR menjalankan siasatan dari masa ke semasa.
Lim kemudiannya mencelah dan bertanya sama ada BPR telah menyiasat dakwaan 'harta berbilion' Taib.
Nazri menjawab, sebarang siasatan mesti berasaskan kepada sumber-sumber yang sah dan menegaskan banyak tuduhan yang dibuat tanpa diketahui sumber-sumbernya.
Sementara itu, Chong berkata, kerajaan juga mesti mengambilkira pertambahan kekayaan di kalangan keluarga ahli-ahli politik.
Beliau mendakwa, isteri Taib (Laila) memilik 27 juta saham dalam (pengeluar simen terbesar) CMS, dan anaknya (Sulaiman) pula memilik 22 juta saham.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada sebarang siasatan dijalankan bagaimanakah anggota keluarga tersebut mampu memperolehi kekayaan seumpama itu.
Sambil mencelah, Lim mendakwa BPR tidak bersedia menjalan siasatan terhadap Taib dan menyifatkan badan tersebut sebagai "harimau tidak bergigi". Berita asal

