100 hari: Khairy beri markah B- pada kerajaan 'yang ada Zahid'
Bekas menteri Khairy Jamaluddin memberi markah B- kepada pencapaian kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim selepas 100 hari mentadbir negara.
Dalam podcast bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, dia memuji sejumlah menteri dari PH namun mengkritik sebahagian menteri dari Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Dia menyifatkan presiden Umno itu, yang berdepan perbicaraan rasuah di mahkamah, sebagai beban politik buat perdana menteri.
Tanpa mengulas lanjut, dia berkata B- adalah markah yang bagus buat sebuah kerajaan yang mana timbalan perdana menteri adalah Zahid.
"Saya beri markah B- untuk 100 hari (pertama) kerajaan Madani. Bagi saya, B- markah yang bagus, jauh lebih tinggi daripada markah lulus.
"Tapi (markah) B- kerana dasar jangka panjang masih lagi samar, ada banyak jurang dari segi dasar," katanya.
Menyifatkan prestasi kabinet sebagai "tidak konsisten", dia berkata: "Ada (menteri) yang bagus, ada yang tak berapa menyerlah.
"Saya tak kata (mereka) tak bagus, (tapi) tak berapa menyerlah. Dalam 100 hari, kita jangka mereka untuk ke depan bantu perdana menteri dalam menggariskan hala tuju lebih jelas."
Memuji Anwar kerana mengekalkan kestabilan politik, Khairy berkata Anwar berjaya menunjukkan dirinya sebagai ahli politik beridealogi "tengah-kiri" menerusi Belanjawan 2023.
"Buat masa ini, saya nampak ada kestabilan dan rakyat pun menerima pembentukan kerajaan perpaduan ini.
"Cuma...Anwar tidak mencapai 'knockout punch' (kemenangan mutlak) pada PRU lepas, seperti mana Tun Mahathir pada 2018. (Mahathir) tak perlu ihsan, sokongan parti lain untuk bentuk kerajaan.

"Dari segi politik, kalau ambil pepatah Inggeris, he has albatross around his neck (menggalas beban besar yang akan menjadi penghalang untuk berjaya). Beban ini adalah Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri dan presiden Umno. Anwar terpaksa pikul albatross ini, tak tahu sampai bila," katanya lagi.
Khairy merujuk kepada sokongan yang diberikan Zahid kepada Anwar, yang merupakan antara faktor utama Anwar meraih sokongan yang cukup untuk menjadi perdana menteri.
Ia berikutan tiada gabungan atau parti politik yang menang majoriti mudah dalam PRU lalu. Zahid kemudian membawa BN untuk menubuhkan kerajaan bersama-sama PH.
Pujian untuk beberapa menteri
Berkenaan prestasi kabinet Anwar, Khairy memuji beberapa menteri dari PH termasuk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli - yang menurutnya memiliki beberapa idea yang baik; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
"Anthony Loke (markah) paling tinggi. Tentunya lebih senang (bagi Loke) sebab dia pernah jadi menteri pengangkutan. Saya pun kenal Anthony sudah lama, dia seorang yang no-nonsense, hanya nak buat kerja.

"Menteri belia dan sukan dapat banyak perhatian dari orang muda sebab pendekatan yang agak segar, dan juga tegas terhadap kenyataan-kenyataan rasis yang tiada tempat dalam sukan."
Berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad yang memegang portfolio sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim, Khairy berkata dia ingin melihat bekas ketua Pemuda PKR itu lebih tangkas dalam melaksanakan tugasnya.
Ia terutama dalam merangka hala tuju untuk mengangkat agenda alam sekitar untuk Malaysia, katanya lagi.

Khairy turut memuji Dr Zaliha Mustafa yang menggantikannya di Kementerian Kesihatan. Menurutnya, pemimpin PKR itu telah cuba mengatasi banyak masalah dalam kementerian itu.
Dia berharap kerajaan dapat terus meningkatkan prestasi menuju tempoh enam bulan pentadbiran.
"Saya nak lihat menteri-menteri yang selama ini senyap dan tak nampak ada hala tuju, terutama dari Umno, agar menyerlah sedikit.
"Contohnya, sekarang kita tahu ada ketidaktentuan begitu besar dalam aspek geopolitik, terutama dalam dunia yang multipolar, dengan Amerika Syarikat, China, Rusia dan sebagainya.
"(Tetapi) mana rangka kerja dasar luar dan pertahanan kita? Tak dengar pun. Kita kena tetapkan nada," katanya, merujuk kepada Menteri Pertahanan Mohamad Hasan dan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/a52396821acbb8d3f9bbefd1b55fa5b2.jpg)
