NGO gesa warta semula hutan simpan Kuala Langat sebelum PRN
Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) menggesa kerajaan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebelum pilihan raya negeri (PRN).
Ini selepas janji Menteri Besar Amirudin Shari untuk mewartakan semula kawasan seluas 1,222 ekar (494.5 hektar) masih tidak ditunaikan selepas 18 bulan.
"Sebelum ini MB berjanji untuk mewartakan semula hutan simpan itu beberapa kali sejak 2021.
“Tapi, kita lihat proses warta semula itu tidak berlaku dan juga kali terakhir MB janjikan untuk warta semula sebelum perayaan aidilfitri tahun 2022, tetapi kita nak masuk perayaan aidilfitri tahun 2023 masih tidak ada apa-apa tindakan.

"Jadi, gabungan dengan ini meminta MB warta semula hutan simpan itu sebelum 31 Mei iaitu sebelum PRN negeri. Sebab, kita tidak tahu kerajaan akan datang selepas PRN mungkin tidak menunaikan janji kerajaan hari ini," katanya jurucakap PHSKLU Suresh Kumar Balasubramaniam kepada Malaysiakini.
Turut hadir Brendan Seott, aktivis dari Sarawak dan Shaq Koyok wakil Orang Asli Kampung Pulau Kempas, Banting, Selangor.
Terdahulu, gabungan itu menyerahkan surat di pejabat menteri besar di Shah Alam, pagi tadi.
Suresh Kumar juga menyatakan penduduk bimbang berlaku kemusnahan hutan.
"Bulan lepas, ada projek pemasangan paip, sebahagian daripada hutan simpan itu telah dicerobohi dan dimusnahkan satu bahagian yang besar.
"Jadi, inilah akibatnya jika hutan simpan itu tidak digazetkan dengan segera. Yang pelik, proses nyah warta hanya memerlukan masa tiga bulan, tapi untuk warta semula memerlukan lebih 18 bulan," katanya.
Sebelum ini, Amirudin pada Disember 2021, menyatakan kerajaan negeri berhasrat untuk mewartakan semula hutan Kuala Langat Utara sebagai hutan simpan kekal pada suku pertama 2022.
Keputusan itu diambil susulan kritikan pelbagai pihak, kerajaan Selangor antara lain menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan itu.
Daripada kawasan seluas 536.7 hektar yang sudah habis diwartakan, Amirudin mengatakan mereka memutuskan untuk mengekalkan 42.1 hektar sebagai tanah yang diberikan sebagai pampasan untuk Kampung Orang Asli Busut Baru.
Sementara itu, Shaq meminta kerajaan negeri menghormati hak Orang Asli di negara ini.
"Ada tiga atau empat buah kampung yang berduduk berdekatan hutan simpan itu. Banyak pergi ke kawasan hutan itu untuk menjalankan budaya kami sebagai budaya Temuan dan agama kami memang berkait rapat dengan hutan tersebut,
"Kami agak risau banyak pencerobohan berlaku sebelum ini kerana kawasan itu masih tidak diwarta. Saya rasa ini melanggar hak asasi manusia.
"Kami sejak dulu tak dibagi apa yang dijanjikan, bayangkan pembangunan baru boleh diwarta kenapa kawasan Orang Asli yang duduk di situ berpuluh-puluh tahun tak diwartakan," katanya.
Pada tahun 1993, penduduk kampung Temuan diminta untuk meninggalkan rumah mereka di Kampung Busut, Sepang untuk memberi laluan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mereka dipindahkan sejauh 40km ke Kampung Busut Baru di Kuala Langat dan dijanjikan tanah seluas 404.7 hektar tetapi belum diberi jumlah penuh yang dijanjikan hingga hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/f9be756460165bab6cb5e04688ee2320.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/03fade70a5d43d1dfa22fb4e1e7f06cf.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a6bc663198ee1205351ef245206eeeba.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/83e1851c863354f9845ce826026db19c.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a3f2072eb0a961c029a5ddeca40e0130.jpg)
