Muhyiddin dipanggil SPRM, nafi ditahan di padang golf
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 11 pagi esok.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan di Facebook, susulan spekulasi dia akan dihadapkan dengan pertuduhan di mahkamah.
Dia juga menegaskan laporan bahawa dia telah ditahan di padang golf hari ini adalah tidak benar.
"Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi," katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemuda Bersatu Harris Idaham Abdul Rashid memberitahu Malaysiakini bahawa penyokong parti akan berkumpul bagi menunjukkan sokongan kepada presiden mereka, esok.
"Kami baru saja dapat maklumat bahawa presiden kami akan dipanggil ke pejabat SPRM esok untuk soal siasat.
"Kami jangka akan ada pendakwaan pada esok petang atau keesokannya (Jumaat). Jadi kami sedang bersiap sedia untuk tunjukkan solidariti kami," katanya.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kebetulan kubu kuat Muhyiddin.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/2e2a63256631305813269d872a1d4f45.jpg)
