Beberapa anggota parlimen dari Kelantan memberi gambaran pada asasnya mereka cenderung untuk bekerjasama dengan Putrajaya bagi menjayakan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan.

Sikap itu sekali gus dilihat menyahut seruan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mahu semua pihak khususnya wakil rakyat pembangkang bersama-sama beruusaha membasmi kemiskinan rakyat.

Anggota Parlimen Jeli Zahari Kechik dalam respon ringkas kepada Malaysiakini berkata dia tidak ada masalah dan sedia bekerjasama demi rakyat.

“Selaku wakil yang dipilih rakyat dan demi rakyat saya bersedia berkerjasama. Kemiskinan tidak kenal politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Rafizi menyatakan keyakinannya terhadap IPR yang akan mengelak masalah dan kepincangan program pembasmian kemiskinan sebelum ini.

Untuk tujuan itu dia berharap ahli parlimen dan Adun pembangkang - terutamanya di negeri yang mempunyai kadar kemiskinan ketara - membantu kerajaan dalam usaha mengenal pasti golongan yang akan mendapat manfaat daripada program tersebut.

IPR ialah program yang bertujuan membantu golongan miskin tegar menjana pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM2,500 dengan mengambil bahagian dalam satu daripada tiga sektor - makanan, pertanian dan perkhidmatan.

Mahu ada penambahbaikan

Para peserta akan dipantau oleh kementerian berkaitan selama 24 bulan, dengan harapan peserta dapat berdikari selepas tempoh tersebut.

Sebagai rekod Rafizi berkata daripada lebih 22,000 pemohon setakat ini, hanya 1.7 peratus membabitkan individu dari Kelantan, diikuti Terengganu (1.5 peratus), Perlis (0.5 peratus), Sabah (5.7 peratus) dan Sarawak (2.4 peratus).

Sebagai perbandingan, 34 peratus pemohon setakat ini adalah dari Selangor, Johor (11 peratus), Perak (9 peratus), dan Kuala Lumpur (8.5 peratus).

Sementara itu Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun berkata tiada undangan secara rasmi dibuat kepada wakil rakyat pembangkang untuk terlibat dengan program berkenaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Keadaan itu katanya menyebabkan maklumat mengenai program berkenaan tidak tersebar dengan luas.

“Tiada engagement dibuat dengan kami secara rasmi. Tiada surat dan sebagainya. Macam mana rakyat nak tahu.

“Rakyat di Kelantan amat rapat dengan wakil rakyat. Mereka mahu maklumat disalurkan mengikut struktur,” katanya sambil menyatakan kerjasama untuk program IPR itu boleh dilaksanakan.

Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Md Nawi pula berpendapat program IPR memerlukan penglibatan dan kerjasama dengan kerajaan negeri, pemegang taruh dan pemimpin komuniti.

Kata Mumtaz, pihaknya menghargai inisiatif kerajaan tapi setelah diteliti dia berpendapat perlu ada yang perlu diubah suai khas untuk menepati keperluan di sesebuah negeri.

“Sebab ia memerlukan kupasan, kelonggaran dan penambahbaikan dari segi teknikal dan pendekatan untuk dijayakan mengikut kesesuaian ekonomi tempatan.

“Satu sistem sokongan dan mekanisme daripada semua pihak perlu dikenal pasti,” katanya yang juga Adun Demit.