Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jika setiap kes bermotif politik maknanya semua kes rasuah besar kita lepas?’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan dia tidak mencampuri urusan membabitkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang dipanggil SPRM untuk siasatan, dipercayai berhubung kes salah guna dana kerajaan.

Soalnya, samada pengkritik akan membenarkan SPRM menangkap atau menyiasat sesiapa sahaja berhubung kes rasuah sekiranya setiap siasatan dilabelkan sebagai "bermotifkan politik" atau tidak.

“Untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu bermotif politik maknanya tidak bolehlah nak tangkap? Semua kes-kes rasuah besar-besar kita lepas?

“Setiap kes bermotifkan politik, adakah ia bermakna (SPRM) tidak boleh membuat tangkapan?” soalnya kepada pemberita hari ini.

Sehingga berita ini ditulis, Muhyiddin yang juga adalah bekas perdana menteri sedang disoal siasat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan spekulasi mengatakan bahawa dia akan ditangkap hari ini, dan didakwa esok.

SPRM sebelum ini menyiasat Muhyiddin berhubung skandal rasuah Jana Wibawa, walaupun bekas perdana menteri itu mendakwa dia hanya adalah saksi dan bukan suspek.

Minggu lalu suruhanjaya itu menahan Mohamed Salleh Bajuri dari Bersatu berhubung penggunaan dana parti.

Ia juga telah mendakwa ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, dan seorang timbalan ketua bahagian atas dakwaan rasuah.

Anwar sebelum ini berkata dia tidak pernah campur tangan dalam mana-mana agensi, dan dia iau juga tidak tahu mengenai pertuduhan yang akan dikenakan.

"Jadi orang setuju tak setuju, (kena) tengok kes. Apa pendakwaannya, apa pertuduhannya.

“Belum tahu apa keputusan setakat ini, ... (Muhyiddin) hanya dipanggil," katanya.

Anwar berkata, dia hanya dimaklumkan oleh SPRM apabila mereka merancang untuk memanggil sesiapa berhubung implikasi politiknya.

"Itu tengok kes. Saya tidak campur tetapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Peguam Negara, tengok kes.

“Saya nak tegaskan di sini semua orang yang mahu negara ini bersih, bebas rasuah harus lihat kes satu per satu bahawa samada benar ada pendakwaan politik atau berdasarkan fakta.

“Yang saya sebut selama ini tentang kes Jana Wibawa, tebatan banjir. Itu berdasarkan dokumen kempen terima (daripada) Kementerian Kewangan bukan SPRM atau AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS