PM umum pengurangan cukai taksiran fasa dua di Putrajaya
Kerajaan hari ini mengumumkan pengurangan cukai taksiran fasa dua di Putrajaya kepada pemilik kediaman strata sebanyak lima peratus dan pemilik kediaman teres sebanyak 20 peratus.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mengambil peduli keluhan daripada pemilik harta selain rumah mampu milik di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.
"Setelah meneliti penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa dua di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak lima peratus dan pemilik kediaman teres sebanyak 20 peratus.
"Pengurangan cukai taksiran ini diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas tahun 2017, di mana potongan akan diberikan terhadap jumlah cukai taksiran yang dikenakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata pengurangan cukai berkenaan membabitkan jumlah
hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas tahun 2017.
Katanya, pengurangan itu akan mula dilaksana mulai 1 Jul 2023 sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.
"Pengurangan ini juga adalah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani melalui elemen Ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup yang lebih luas bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk dalam mendepani kos sara hidup.
"Khususnya kepada golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/f965e7959a0d544f05a0fc2fd17779d8.jpg)
