Sanusi nafi tak buat permohonan pembangunan Kedah Aerotropolis
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa kerajaan negeri Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau cadangan untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis.
Menurutnya sejak mengambil alih kepimpinan negeri Kedah pada Mei 2020, pembentangan dalam meyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan Oktober 2020.
Jelasnya kerajaan negeri juga sudah menerima lapan nasihat daripada Kementerian Pengangkutan yang sedang dipenuhi.
“Permohonan rasmi kepada dua perdana menteri sebelum ini juga sudah dikemukakan untuk dibawa masuk ke dalam mesyuarat kabinet. Demikian juga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang bertujuan untuk mendapatkan penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (Ukas).
“Bagaimanapun setakat ini, laporan penelitian Ukas yang di bawah portfolio Menteri di JPM (Ekonomi) masih belum diperolehi.
“Sejak 2015, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Kementerian Pengangkutan menafikan kerajaan membatalkan projek Aerotropolis Kedah sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan.
Menjelaskan hal itu dalam sesi penggulungan kementerian itu, Loke berkata tidak berbangkit isu kerajaan membuat pembatalan tersebut.
Sementara itu Sanusi berkata kerajaan persekutuan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataan kepada media pada 19 Mac 2019 juga mengumumkan kelulusan projek berimpak tinggi termasuk Lapangan Terbang Antarbangsa Kulim (KXP).
Sehubungan itu katanya, kerajaan Kedah telah memulakan proses pengambilan tanah dengan memasuki Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan melengkapkan proses kajian kesesuaian tapak pada 2020.
Mengulas lanjut jelasnya pada 2021, kerajaan negeri memperkenalkan pembangunan Kedah Aerotropolis di mana KXP hanya menjadi salah satu komponen dalam projek itu yang berperanan sebagai ‘enabler’.
“Permohonan rasmi telah dikemukakan melalui Jawatankuasa Perancang Negeri, Jawatankuasa Kawal Selia MPFN dan Jawatankuasa Kerja MPFN bagi pembentangan dan mendapatkan kelulusan MPFN.
“Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan pada Mesyuarat MPFN ke 35 (Bil. 2/2020) pada Ogos 2020,” katanya.
Tambahnya sesi libat urus kerajaan negeri dengan Kementerian Pengangkutan yang masing-masing diketuainya sendiri dan Wee Ka Siong (menteri pengangkutan ketika itu) diadakan pada 21 Ogos 2020 dan berjaya mendapatkan kelulusan bagi pembangunan projek.
Jelas Sanusi lagi permohonan kemudiannya telah berhasil mendapatkan Kelulusan Dasar dalam Mesyuarat MPFN kali ke 36 (Bil.3/2020) pada 27 Oktober 2020.
“Kelulusan itu berserta lapan nasihat yang perlu dipatuhi bagi mendapat kelulusan akhir. Kerajaan negeri telah menerima surat sokongan atau tiada halangan daripada lebih 10 agensi berkaitan yang disenaraikan dalam nasihat MPFN.
“Dalam memastikan setiap nasihat MPFN dipatuhi, beberapa sesi libat urus bersama agensi berkaitan telah diadakan termasuk dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya yang turut menyenaraikan ulasan-ulasan awal teknikal daripada Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan.
Dua surat dihantar kepada PM
Dalam perkembangan sama Sanusi berkata setakat ini, sudah dua surat permohonan untuk melakukan pembentangan projek di hadapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihantar iaitu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah (PKNK) yang menguruskan projek ini.
“Apa yang mendukacitakan, kedua-dua permohonan itu belum dijawab,” katanya sambil menegaskan Sultan Kedah juga memaklumkan sudah menitahkan kepada Anwar mengenai keperluan untuk projek ini disegerakan ketika sesi mengadap di Istana Kedah di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun kata Sanusi, Anwar menyatakan kerajaan persekutuan tidak ada keupayaan kewangan buat masa ini.
“Dengan pemakluman ini saya membuat kesimpulan bahawa perdana menteri tidak mempunyai maklumat yang jelas atau terperinci mengenai projek ini.
“Bagi projek ini, segala urusan yang diperlukan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat MPFN telah dilaksanakan. Ini termasuk kajian EIA dan DEIA dan perincian sedang dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar,” jelas Sanusi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/baac0c042997cf35a113aaf680bda07f.jpg)
