Bekas tahanan politik di Singapura, Said Zahari hairan dengan keputusan kerajaan republik itu mengharamkan penayangan filem dokumentari bertajuk "Zahari's 17 Years" arahan Martyn See.

Said, yang juga bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu, berkata alasan utamanya mungkin kerana Singapura tidak mahu generasi mudanya mengetahui sejarah politik republik itu dalam tahun 1950-an dan 60-an.

"Kerajaan (Singapura) takut semakin ramai rakyatnya akan tahu mengenai sejarah republik itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Said yang ditahan selama 17 tahun di Singapura juga berkata tindakan mengharamkan tayangan dokumentari itu agak menghairankan kerana ia sudah setahun diterbitkan.

Menurutnya, filem tersebut telahpun diedar ke banyak negara dan adalah menghairankan mengapa baru sekarang kerajaan Singapura mengharamkannya.

Antara lain, filem tersebut telah ditayangkan di Malaysia dan Kanada.

"Saya belum lagi melihat kenyataan kerajaan (Singapura) itu tetapi saya tidak faham mengapa baru sekarang mereka mahu mengharamkannya?" soalnya.

Menurut Said, apa yang telah didedahkannya dalam filem sepanjang 50 minit itu hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang ditulisnya dalam bukunya yang bertajuk Meniti Lautan Gelora yang diterbit di Malaysia pada 2001.

Ancaman keselamatan

Laporan Reuters semalam melaporkan bahawa Kementerian Kesenian, Komunikasi dan Maklumat Singapura telah mengharamkan filem itu kerana mendakwa ianya bertentangan dengan kepentingan awam.

Menurut kementerian itu lagi, filem tersebut memberi gambaran yang tidak tepat dan mengelirukan mengenai penangkapan dan penahanan Said di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Singapura).

Ia mendakwa penerbitan filem tersebut sebagai percubaan Said "untuk membersihkan dirinya daripada pembabitan masa lalunya dalam aktiviti barisan bersatu komunis menentang kepentingan Singapura."

Kementerian itu berkata, filem tersebut perlu diharamkan kerana ia boleh menjadi ancaman keselamatan kerana ia berniat untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Pengarahnya telah diarah menyerahkan semua salinan filem berkenaan kepada Lembaga Kemajuan Media Singapura.

Sebelum ini, See pernah disiasat oleh pihak polis Singapura selepas beliau menerbitkan dokumentari mengenai pemimpin pembangkang, Chee Soon Juan pada tahun 2005.