Penstrukturan semula beberapa kementerian di bawah kerajaan hari ini tidak membabitkan sebarang kos tambahan kepada negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali.

Dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, semalam, Armizan berkata, ini kerana, penstrukturan itu hanya membabitkan penyusunan semula kementerian.

“Untuk makluman, penstrukturan semula kementerian tidak melibatkan sebarang pertambahan kos kepada kerajaan.

“Pengagihan peruntukan daripada kementerian asal ke kementerian penerima / kementerian baharu telah diselaraskan berdasarkan kepada penyusunan semula kementerian / jabatan / agensi seperti mana yang telah dipersetujui oleh kerajaan.

"Dalam hal ini, dengan penstrukturan semula kementerian melalui penggabungan sektor yang sebelum ini di bawah pengurusan dua kementerian berbeza, antara lain dapat mengelakkan kehilangan masa yang tidak sepatutnya," katanya.

Dia menjawab soalan  Ismail Abd Mutalib (PN-Maran) yang meminta kerajaan menyatakan kos ditanggung susulan pertukaran beberapa kementerian dan nama kementerian.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebenarnya, penstrukturan itu secara tidak langsung menjimatkan sumber tenaga serta modal insan.

Malah, katanya ia juga berjaya mengelakkan pertindihan fungsi yang wujud antara dua kementerian sebelum penggabungan dilaksanakan.

Susulan pementukan kabinet pada 2 Disember lalu, kerajaan menstrukturkan semula beberapa kementerian.

Antaranya, membabitkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Wilayah Persekutuan diserap ke dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi Jabatan Wilayah Persekutuan bawah tanggungjawab Perdana Menteri; manakala Unit Perancangan Ekonomi, JPM dinaik taraf kepada Kementerian Ekonomi.

Turut mengalami perubahan adalah empat kementerian lain yang dijenamakan semula.

Kementerian Luar Bandar kini dikenali Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjadi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula ditukar kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Sementara Kementerian Pengajian Tinggi menjadi Kementerian Pendidikan Tinggi.