Beku pekerja asing bidang tertentu: Dewan Perniagaan India rayu PM campur tangan
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kaji semula keputusan untuk menamatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara berperingkat beberapa sub sektor yang berkaitan dengan perniagaan tradisi masyarakat itu.
Presidennya N Gobalakrishnan berkata keputusan JIM menamatkan PLKS bagi menggaji pekerja asing bermula 15 Mac ini secara peringkat bagi sub sektor tekstil, tukang emas dan tukang gunting perlu dikaji semula.
"Ketiga-tiga sektor telah dibeku untuk mengambil pekerja asing sejak 2009. Kini JIM membuat arahan baru bahawa majikan tidak lagi dibenarkan memperbaharui PLKS pekerja asing yang sedia ada.
"Ini satu keputusan yang mengejutkan dan tidak mencerminkan keadaan sebenar ketiga-tiga industri tersebut. Mengeruhkan lagi keadaan.
"Kami meminta perdana menteri Anwar Ibrahim segera campur tangan dalam isu ini agar mendapat penyelesaian muktamad kepada semua pihak," katanya pada sidang media di pejabat MAICCI di Kuala Lumpur hari ini.
MAICCI merupakan gabungan dewan perniagaan merangkumi 20 pertubuhan mewakili lebih 17,000 ahli perniagaan masyarakat India di negara ini.
Untuk rekod, JIM pada 7 Feb 2023 mengeluarkan surat pekeliling kepada semua pengarah imigresen negeri dan KLIA bahawa agensi itu akan menamatkan pembaharuan PLKS kepada ketiga-tiga sub sektor ini.
Surat yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bahawa arahan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan jemaah menteri, jawatankuasa bersama jemaah menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia pada 8 Ogos 2019 ketika era pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran mengakui dia sendiri tidak tahu kenapa kerajaan pusat masih membekukan pengambilan pekerja asing dalam ketiga-tiga sektor ini.
Gobalakrishnan juga menegaskan bahawa majikan daripada tiga industri itu sedia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan jika mereka berminat.
"Kami tidak ada masalah untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan. Tapi, mereka tidak bersedia bekerja di sektor-sektor ini.
"Jumlah pekerja asing yang diperlukan untuk ketiga-tiga sektor ini tidak melebihi satu peratus daripada jumlah 1.7 juta pekerja asing di Malaysia.
"Keengganan kerajaan menyelesaikan isu ini akan mungkin membawa kepada hampir 10,000 pemain dalam ketiga-tiga industri ini gulung tikar dalam masa setahun," katanya.
Katanya, dia telah berjumpa dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk menjelaskan hari ini.
Gobalakrishnan juga berkata dia telah berjumpa Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy baru-baru ini.
Katanya, kedua-duanya pemimpin itu telah berjanji membawa isu ini kepada perdana menteri.
Sektor perniagaan tekstil, tukang emas dan tukang gunting antara bidang perniagaan yang telah dibekukan daripada mengambil pekerja asing sejak 2009.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/9621134f8981aa6052da19ecbd1d6a31.jpg)
