Bayaran subsidi pendidikan kanak-kanak India B40 dibayar terus kepada pengurusan prasekolah dan bukan kepada ibu bapa, demikian menurut Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Kenyataan Mitra hari ini memaklumkan ia kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba mengelirukan masyarakat India berhubung perkara itu terutama ibu bapa kanak-kanak B40 terbabit.

Menurut Mitra, ia mengadakan pemantauan berhubung pelaksanaan program tersebut di semua negeri dan perjumpaan dengan ibu bapa bagi memastikan bantuan kewangan kerajaan itu digunakan sewajarnya.

“Tindakan ini adalah untuk memastikan kanak-kanak tersebut akan menerima pendidikan awal prasekolah sepertimana yang telah dizahirkan oleh kerajaan Malaysia bagi memastikan semua kanak-kanak menerima pendidikan prasekolah," menurut kenyataan itu.

Mitra memperuntuk geran sebanyak RM13,068,862 bagi membiayai subsidi pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40 yang lingkungan berusia empat hingga enam tahun pada 2022 yang memanfaatkan sejumlah 5,164 orang.

Bantuan itu, yang disalur melalui lima organisasi membabitkan 214 pusat prasekolah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, meliputi yuran pendidikan bagi sesi persekolahan mulai Mac 2022 hingga Februari 2023 termasuk subsidi sekali beri iaitu buku dan lembaran kerja, kit permulaan (pakaian seragam dan alat tulis) serta sarapan.

- Bernama