Muda: Program lawat rumah ibadat agama lain harus dirai, bukan disekat
Muda berpendapat program antara agama dan aktiviti melawat rumah ibadat agama lain tidak seharusnya disekat, sebaliknya diraikan.
Ketua Penerangannya, Luqman Long mempersoalkan kenyataan Exco Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa kerajaan negeri Selangor melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Menurut pengasas bersama Muda itu, keputusan tersebut tidak sedikitpun membantu masyarakat berbilang agama dan kaum untuk hidup harmoni.
"Muda sendiri banyak kali mengadakan program untuk semua ahli termasuklah sambutan Pongal, Hari Raya Aidiliftri, Maulidur Rasul, Hari Natal, membuka Thaneer Panthal untuk sambutan Thaipusam, Tahun Baru Cina. Ia disertai oleh semua ahli Muda – tak kiralah Muslim atau bukan Muslim.
"Ada juga ahli Muda bukan Muslim yang datang membersihkan surau dan masjid di kawasan banjir.
"Jadi apabila ada larangan untuk orang berlainan kepercayaan untuk melawat rumah ibadah yang lain, saya menjadi sangat risau kerana sudah sekian lama, tidak pernah ada masalah pun apabila rakyat meraikan kerencaman rakyat yang lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Baru-baru ini, agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia menerima kecaman daripada beberapa pihak, termasuk pembangkang berkaitan program yang dinamakan ‘Projek Artikel 11”.
Bagaimanapun Impact Malaysia menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menganjurkan program "Kristian evangelis" menerusi program tersebut.
Projek Artikel 11 ialah program melibatkan golongan belia yang dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.
Semalam, Mohd Zawawi berkata program sedemikian perlu mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan tindakan boleh diambil terhadap individu yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 5 dan 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam).
Mengulas lanjut, Luqman mempersoalkan apakah selepas ini orang bukan beragama Hindu tidak lagi boleh melawat Batu Caves atau penganut Kristian dan Buddha tidak lagi dibenarkan melawat masjid.
"Bagaimana pula pemimpin negara yang dijemput untuk meraikan sambutan penganut agama lain?
"Adakah mereka juga akan dilarang masuk atau bagi pemimpin – ada syarat lain yang lebih longgar?
"Pesan saya (dan juga Muda) – jika rakyat ingin mengambil tahu, bertukar fikiran dan pendapat soal agama, kepercayaan dan iman penganut masing-masing, berilah ruang kepada mereka.
Katanya tiada masalah untuk program seumpama itu dijalankan asalkan bersandarkan kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan.
“Berilah kepercayaan kepada iman dan takwa semua penganut agama – Malaysia pasti sentiasa aman dan harmoni," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/686f94382cf8fe0eda864177e3d8858a.jpg)
