Sultan Johor mahu petempatan, rizab Orang Asli di bawah 'sultanate land'
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, percaya terdapat dalang yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan untuk menceroboh hutan simpan kerajaan bagi dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
Sehubungan itu, baginda bertitah supaya kerajaan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar.
"Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semua kawasan petempatan dan rizab Orang Asli di bawah 'sultanate land' supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, pencerobohan hutan adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan Orang Asli juga tidak terkecuali daripada tindakan.
"Saya berasa kecewa apabila ada segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
"Malah, ada juga yang cuba menuntut 'kawasan rayau' yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.
"Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah dan Orang Asli juga tidak terkecuali," titah baginda.

Menurut baginda, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di Johor dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.
Ini termasuk menyediakan kawasan petempatan yang lebih tersusun, dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/6cb18e7345672c038ff285c28ab5df31.jpg)
