Chong: saya tidak berharga langsung...
"Ia bukan secara mengejut...siapalah saya, tidak penting dan tidak berharga langsung". Begitulah kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat ketika ditanya mengenai perletakan jawatannya dari kabinet Sabah yang diumumkannya hari ini.
"Malahan, sebagai menghormati BN, saya menangguhkan peletakan jawatan saya sehingga hari ini disebabkan oleh pilihanraya kecil DUN Machap semalam.
"Saya bercadang menyerahkan surat peletakan jawatan saya lebih awal tetapi disebabkan pilihanraya kecil itu, saya fikir adalah lebih baik untuk melakukannya selepas pilihanraya kecil itu," katanya di sidang media yang penuh sesak di Wisma Tun Fuad, di Kota Kinabalu.
Beliau yang juga Meneri Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Sabah berkata, peletakan jawatannya itu berkuatkuasa 16 April ini, demikian menurut laporan Bernama.
Menurut Chong, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah di Istana Negeri.
"Pagi ini saya dibenarkan mengadap oleh Yang Dipertua Negeri di mana saya menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet negeri Sabah.
"Perjumpaan saya dengan TYT berjalan dengan baik...kami berbual panjang dan saya dengan penuh ikhlas menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama atas keyakinan, kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama kepada saya selama ini," katanya lagi.
Kekal Adun
Bagaimanapun, Chong berkata beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Tanjung Kapor.
Semasa diminta mengulas hubungan beliau dengan anggota Kabinet yang lain, termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, beliau berkata: "Saya akan bercakap mengenainya, jika perlu, bila tiba masanya. Jika tidak, saya akan cuba mengelak.
"Saya terkenal sebagai seorang yang amat sabar. Selagi saya mampu mengelak...saya akan mengelak... kecuali saya terpaksa.
"Saya akan mempertahankan apa yang telah saya lakukan sepanjang kerjaya saya dalam politik dan saya akan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip saya," katanya.
Chong berkata peletakan jawatan beliau tidak akan menjejaskan kekuatan Barisan Nasional (BN) negeri dalam menghadapi pilihanraya akan datang.
Chong berkata beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada Musa yang kini berada di luar Sabah.
Ditanya sama ada beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai peletakan jawatan itu, beliau berkata: "Saya tidak fikir ia penting...saya hanya seorang pemimpin negeri yang kerdil.
"Saya telah maklumkan kepada dunia bahawa saya akan berundur secara terhormat dan bermaruah sejak tiga tahun lalu...saya buat keputusan saya hari ini," katanya.