Hari penamaan calon pilihanraya kecil Ijok tinggal empat hari lagi, dan kepanasannya semakin memuncak apabila Ketua MIC bahagian Kuala Selangor mengancam meletakkan jawatannya jika tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Thirumoorthy, 55, seorang guru sekolah menengah, mendakwa 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan parti MIC di kawasan pilihan raya Ijok itu akan turut meletakkan jawatan bersamanya.

Thirumoorthy yang menjadi ketua bahagian sejak 1994, berkata beliau difahamkan calon BN bukan dari kalangan ahli bahagian MIC Kuala Selangor, demikian menurut laporan Bernama.

BN dijangka mengumumkan calon hari ini.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu ketika diminta mengulas tindakan Thirumoorthy itu, berkata beliau tidak akan melayan tuntutannya.

"Ia adalah hak Presiden MIC untuk memutuskan calon. Pengerusi BN (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan nama calon. Saya juga memaklumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo," katanya pada sidang media di Batang Berjuntai.

Thirumoorthy mendakwa semua usaha kerasnya berkempen untuk calon-calon MIC, kebanyakannya orang dari luar Ijok atau luar Kuala Selangor, sejak beberapa pilihan raya lepas tidak dihargai oleh pucuk pemimpin parti itu.

Menikam parti

Susulan itu, Samy Vellu, berkata Thirumoorthy adalah antara mereka yang menyebabkan perpecahan di bahagiannya untuk sekian lama.

"Dia (Thirumoorthy) tidak pernah diterima sebagai ketua oleh semua orang. Pada pemilihan bahagian lalu, terdapat banyak aduan terhadapnya. Saya menyelamatkannya. Saya juga mempunyai 98 peratus sokongan daripada cawangan di sana," katanya.

Ditanya sama ada beliau menghargai sumbangan Thirumoorthy seperti yang didakwa, Samy Vellu berkata: " Mereka boleh pergi...Semua orang di Ijok akan tetap bersama kami. Bagaimanapun, saya hargainya kerana menikam parti dari belakang. Saya tidak akan menemuinya lagi, kami tidak suka pengkhianat."

Samy Vellu juga mendakwa Thirumoorthy adalah antara mereka yang cuba menikam parti dari belakang apabila menaja seorang calon bebas pada pilhanraya umum lepas pada 2004 bagi menentang mendiang Datuk K Sivalingam.

Ditanya sama ada beliau akan menerima peletakan jawatan Thirumoorthy, Samy Vellu menjawab: "Saya tidak mahu sebarang peletakan jawatan... biar dia berambus."

Samy Vellu berkata calon MIC diterima baik bukan sahaja oleh pengundi kaum India tetapi juga pengundi lain kerana calon itu merupakan seorang anak muda tempatan, berpendidikan dan diterima di peringkat akar umbi.

Kerusi DUN Ijok kosong setelah Sivalingam meninggal dunia di Lapangan Terbang Chennai, India akibat serangan jantung pada 4 April lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 19 April dan jika ada pertandingan, pengundian pada 28 April.

Calon bebas

Sementara itu, seorang ahli perniagaan K Loganadan, 47, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Ijok.

Bercakap kepada Bernama semalam, Loganadan berkata keputusan itu tidak didorong oleh sesiapa, sebaliknya untuk berkhidmat di kawasan itu kerana beliau mendakwa tidak banyak pembangunan dan kemajuan dibawa oleh wakil rakyat terdahulu.

Loganadan yang kini menetap di Klang, dilahirkan di Ladang Caledonian, kira-kira lima kilometer dari pekan Ijok dan mendapat pendidikan rendah di sekolah Tamil di situ sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Batu Arang dan Batang Berjuntai.

"Saya adalah anak tempatan dan tinggal di sana selama 18 tahun dan cukup tahu masalah di situ," katanya yang juga Timbalan Presiden Kelab Motivasi Insan Cemerlang Selangor, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Loganadan mendakwa beliau pernah menjadi ahli MIC selama kira-kira lapan tahun dan mempunyai ramai kenalan serta sanak-saudara di Ladang Caledonian yang turut termasuk dalam DUN Ijok.