MP: Kerenah birokrasi masalah dalam permohonan kerakyatan
Kebanyakan kes penduduk tanpa status kerakyatan melibatkan mereka yang terlambat mendaftar kelahiran atau kad pengenalan.
Namun bagi Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, kerenah birokrasi juga antara sebahagian daripada masalah dalam isu tersebut.
“Proses yang panjang di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memberi kesan.
“Ini adalah isu negara yang membimbangkan, melibatkan keluarga warga Malaysia tanpa mengira status sosioekonomi mereka,” katanya dalam hantaran di Facebooknya semalam.
Kenyataan itu susulan program perundingan awam yang diadakan di kawasan Parlimennya pada 19 Mac lalu, yang merekodkan lebih 1,200 kes penduduk yang berdepan masalah kerakyatan.
Program yang diadakan dengan bantuan JPN itu menarik minat ramai orang dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Prabakaran berkata satu masalah biasa yang dihadapi oleh penduduk yang tidak memiliki status kewarganegaraan adalah tempoh menunggu yang lama.

Dalam sesetengah kes, permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan mengambil masa lebih lima tahun - menyebabkan penderitaan mental kepada keluarga.
“Disebabkan menunggu lama dan permohonan ditolak ketika peringkat pertama, keluarga mengalami tekanan mental. Selain itu, permohonan adalah terhad kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun.
"Oleh itu, masa depan mereka menjadi suram, tanpa jalan berkesan untuk mendapatkan kewarganegaraan," katanya.
Kes lain yang direkodkan ketika program itu melibatkan orang dewasa yang ditinggalkan keluarga semasa kecil dan membesar tanpa dokumen, serta kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa Malaysia tetapi ditinggalkan di rumah jagaan atau dengan kenalan - meskipun terdapat dokumen untuk membuktikan kewarganegaraan mereka.
Prabakaran turut membangkitkan kes kanak-kanak yang dianggap sebagai anak luar nikah di Malaysia berikutan kesukaran untuk mendaftarkan perkahwinan dengan pasangan asing dan anak tanpa kerakyatan yang dijaga oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya, pasangan warga asing, juga menghadapi masalah mendapatkan status penduduk tetap atau warganegara selepas kematian pasangan mereka yang merupakan warga tempatan – walaupun mereka ada anak yang berstatus warganegara.
“Selain itu, ada ramai anak tanpa kerakyatan daripada ibu bapa yang bercerai, di mana mereka gagal mendaftar MyKad anak apabila mereka berumur 12 tahun,” tambah Prabakaran.
Sehubungan itu, Prabakaran berkata dia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan KDN untuk menangani masalah itu.
Berkenaan program itu, Prabakaran berkata anggota daripada NGO Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) telah membantunya dengan merekodkan kes-kes yang berasal dari Sabah dan kes-kes sebelum merdeka, dengan dokumen sokongan berkaitan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan, ahli parlimen PKR itu berkata mereka telah mengemukakan permohonan kepada JPN dengan bantuan DHRRA.
“Sementara itu, kami akan mendapat maklum balas daripada JPN mengenai permohonan sedia ada.
"Dan saya akan membawa input daripada semua kes ini ke Parlimen untuk mencari penyelesaian jangka panjang," kata Prabakaran.
Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa 30 peratus kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) tidak diambil dan menggesa ibu bapa atau penjaga untuk mengambilnya sebelum ia dilupuskan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/fb559e17c841187dfe0bfd355d5e35b2.jpg)
