Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga kementerian kerjasama untuk sistem pembayaran tol terbuka lebuh raya

Tiga kementerian akan berbincang dan berganding bahu dalam rancangan mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka di lebuh raya dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata kementeriannya (KPDN) telah bersetuju mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meluaskan sistem pembayaran terbuka kepada Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

"Libat urus ini berterusan, terutamanya dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya semua lebuh raya menggunakan sistem terbuka, dengan itu cara pembayaran biasa seperti kad debit dan kredit boleh juga digunakan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart di Kuala Lumpur hari ini.

Salahuddin berkata dia menerima maklumat bahawa sudah ada pemain industri sedia menawarkan sistem berkenaan, yang akan membolehkan pengguna lebuh raya memilih sistem pembayaran semasa di lebuh raya nanti.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata lebuh raya yang akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, menyentuh isu monopoli Touch N Go dalam pengangkutan dan jalan raya, Salahuddin berkata usaha mengintegrasi sistem pembayaran terbuka itu bukan bermakna kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan.

"Perkara ini perlu jelas, bahawa kita tidak ambil tindakan terhadap Touch N Go, mereka boleh terus beroperasi. Kerajaan tidak zalim menghentikan terus operasi mereka," katanya.

Terdahulu Saifuddin melancarkan kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart di bawah inisiatif Payung Rahmah yang berlangsung selama sebulan bermula hari ini hingga 22 April depan di 2,300 cawangan 99 Speed Mart seluruh negara.

Dia berkata jualan itu melibatkan 150 produk pelbagai barangan keperluan asas, pada harga yang lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga jualan murah sedia ada.

"KPDN berharap usaha seumpama ini mampu menarik perhatian rakyat khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti, seiring dengan jenama produk yang ditawarkan sempena bulan berpuasa ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS