Menteri Sumber Manusia V Sivakumar meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan semula keputusan untuk menamatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara berperingkat sub sektor berkaitan dengan perniagaan tradisi masyarakat India.

Sub sektor itu ialah tukang emas, tukang gunting dan tekstil.

"Saya telah berbincang dengan menteri dalam negeri untuk KDN mempertimbangkan agar pemegang PLKS sedia ada ketiga-tiga sub sektor tersebut yang akan tamat pada Mac 2023 untuk dilanjutkan pada satu tempoh masa yang bersesuaian," katanya.

Sivakumar berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub hari ini mengenai pembekuan tiga sub sektor itu.

Imigresen pada 7 Feb 2023 mengeluarkan pekeliling kepada semua pengarah imigresen negeri dan KLIA bahawa agensi itu akan menamatkan pembaharuan PLKS kepada ketiga-tiga sub sektor ini.

Surat yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bahawa arahan itu dibuat berdasarkan keputusan kabinet, jawatankuasa bersama menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia pada 8 Ogos 2019 ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) era Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran mengakui dia sendiri tidak tahu kenapa kerajaan pusat masih membekukan pengambilan pekerja asing dalam ketiga-tiga sektor itu.

Sementara itu, Sivakumar berkata pembukaan semula ketiga-tiga sub sektor ini perlu mendapatkan persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kerajaan Perpaduan amat prihatin dengan permintaan majikan tempatan bagi pembukaan semula ketiga-tiga sub sektor tersebut. 

"Sebarang syor daripada mesyuarat jawatankuasa bersama ini kemudiannya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan mesyuarat jemaah menteri sebelum sebarang pengumuman mengenai pembukaan semula ketiga-tiga sektor ini dapat dilaksanakan," katanya.

Ketiga-tiga sub sektor ini melibatkan majoriti masyarakat India telah dibekukan sejak tahun 2009.