Paling Popular
Terkini

Seorang lelaki yang juga bekas tentera ditahan polis selepas mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintendent Mohd Haki Hasbullah berkata kejadian kira-kira 2.30 petang itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala, dahi dan juga mata serta sakit pada bahagian badan.

Menurutnya pihak polis berjaya menahan suspek berusia 32 yang juga bekas tentera itu selepas laporan dibuat ahli keluarga mengenai kejadian.

“Suspek umur 32 tahun berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal dia mengaku memijak muka dan memukul mangsa kerana tidak memberikan wang RM20 yang diminta untuk membeli dadah.

“Hasil ujian saringan dapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait kes narkotik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan itu Mohd Haki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan dan 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.

Tambahnya suspek kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut, manakala mangsa berusia 65 tahun menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

“Suspek merupakan bekas tentera yang dibuang kerja kerana masalah dadah dan mempunyai kad pesakit mental.

“Inilah akibat daripada penagihan dadah, anak kandung boleh lupa ibu dan sanggup lakukan apa saja. Pihak polis berharap semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS