PH Terengganu, Kelantan belum bincang soal ‘poster boy’
Pakatan Harapan (PH) masih belum membincangkan calon yang akan ditampilkan sebagai ‘poster boy’ pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, khususnya di Terengganu dan Kelantan.
"Belum ada perbincangan lagi," kata Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Hussain juga mengesahkan setakat ini tiada perbincangan dibuat mengenai poster boy.
Katanya, perkara itu mungkin dibincang secara rasmi dengan BN memandangkan kedua-dua gabungan itu akan bekerjasama dalam PRN nanti.
“Setakat ini belum bincang. Perbincangan dengan BN pun belum lagi, kita di peringkat PH negeri baru sahaja tubuh jawatankuasa untuk rundingkan kerjasama dengan BN,” katanya.
Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, PAS merampas Terengganu daripada BN selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PAS juga mengekalkan penguasaannya di Kelantan, yang dikuasainya sejak 1990, dengan memenangi 37 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.
PAS yang kini sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu dan Gerakan, juga menyapu bersih lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 di kerusi parlimen Kelantan pada pilihan raya umum ke-15, November lalu.
Terengganu juga merupakan negeri kelahiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini berkata, PH lebih condong untuk membiarkan BN menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri akan datang.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan calon-calon menteri besar di enam negeri yang bakal berdepan PRN akan diangkat sebagai ‘poster boy’ gabungan itu.
Menteri besar Kedah itu juga dilaporkan bakal ditampilkan sebagai poster boy dalam PRN bagi negeri Jelapang Padi itu nanti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/ec418cda5aa3f2e5c62f87203a0ffbb1.jpg)
