Lebih 85 peratus undi pos dikembalikan pada PRU15
PARLIMEN | Lebih 85 peratus daripada undi pos yang dikeluarkan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu dipulangkan dan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman juga memberitahu walaupun SPR telah membuat penambahbaikan kepada proses itu, ada rancangan untuk menambah baik lagi proses pengundian pos untuk pilihan raya akan datang.
“Pada PRU ke-15 sebelum ini, jumlah undi pos yang dikeluarkan dalam dan luar negara ialah 365,686 dan jumlah keseluruhan undi pos yang diterima ialah 311,378.
"Peratusan pemulangan undi pos ialah 85.15 peratus," katanya dalam jawapan bertulis bertarikh 28 Mac.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta jumlah undi pos yang dikeluarkan SPR dan diterima semula dalam PRU lalu.
Cha juga bertanya mengenai cara diambil badan penyelenggara pilihan raya terbabit untuk menambah baik proses tersebut.
Kata Azalina selepas PRU ke-15 SPR mengadakan pascanilai (post mortem) dengan pengendali perkhidmatan pos yang dilantik bagi meneliti aspek penambahbaikan penghantaran sampul keutamaan undi pos yang lebih berkesan kepada pemilih, sama ada di dalam atau di luar negara untuk pelaksanaan pilihan raya yang akan datang.

Rungutan mengenai pelaksanaan undi pos sering dibangkitkan setiap kali pilihan raya diadakan dengan ramai daripada mereka mendakwa menerima kertas undi terlalu lewat sehingga tidak sempat untuk mengeposnya semula.
Keadaan itu menjadikan undi individu terbabit tidak dikira.
Pengundi juga mengadu menghadapi masalah teknikal pada laman sesawang SPR apabila mereka mahu memohon undi pos atau menerima kertas undi yang tercemar.
Pada PRU ke-15 sebahagian rakyat Malaysia yang menetap di luar negara terpaksa berdepan dengan kekalutan pada saat-saat akhir bagi membolehkan kertas undi masing-masing sempat tiba di lokasi yang ditetapkan sebelum tempohnya tamat.
Undi pos perlu dihantar kepada pegawai pengurus masing-masing sebelum pengundian ditutup pada hari pilihan raya, yang biasanya berlaku pada jam 6 petang.
Pengiraan undi dilakukan sejurus selepas pengundian ditutup dan keputusan biasanya diumumkan pada hari yang sama.
Dewan Rakyat baru-baru ini dimaklumkan semasa PRU ke-13, SPR membuat percubaan dengan membenarkan pengundi luar negara mengundi di kedutaan di negara masing-masing namun hasilnya tidak menggalakkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh juga berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan untuk menangguhkan keputusan rasmi pilihan raya selama 13 hari bagi membolehkan ketibaan undi pos.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/dc3762b0e042a5f6ba7190d41db165a8.jpg)
