Hukuman penjara yang dicadangkan bagi kesalahan melibatkan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 30 tahun dan dengan sebatan, kata Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) kepada Dewan Rakyat hari ini.

Ketika membahaskan rang undang-undang kerajaan untuk meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (SOAC), dia berkata hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi kesalahan sedemikian tidak mencukupi.

“Kalau dibaca ayat Seksyen 15A(1) RUU ini, kesalahannya amat berat sekali. Kerana itu (hukuman penjara) 20 tahun tidak memadai.

“Saya melihat bahawa apabila terdapat gambar atau video itu telah dirakam dan sebagainya dan dimuat naikan di media sosial dan sebagainya, ia akan memberikan kesan bukan hanya jangka pendek tetapi  jangka masa panjang.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah)

“Waima kanak-kanak itu (apabila) dah meningkat dewasa pun bahan itu masih berada di dalam media sosial.

“Bagaimanakah mereka akan berhadapan dengan situasi ini bila mereka besar nanti. Pastinya akan bawa trauma yang sangat-sangat besar dalam kehidupan mereka,” kata Mas Ermieyati.

Menurutnya, perkara yang sama berlaku kepada Seksyen 15B RUU itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kesalahan memeras ugut kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seksual.

“Untuk Seksyen 5B, pemerasan seksual kanak-kanak, saya ingin tahu rasional (cadangan) penjara maksimun 10 tahun.

“Saya rasa pendek sekali dan tidak beri ketakutan pada pelaku-pelaku lain di luar sana. Harus disertai hukuman sebat, termasuk juga 15A tadi,” katanya.

Mas Ermieyati, yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), merujuk kepada Seksyen 15A dan Seksyen 15B RUU SOAC (Pindaan) 2023.

Dalam RUU itu, kerajaan bercadang untuk memasukkan Seksyen 15A  iaitu kesalahan jenayah seks penstriman langsung sama ada menyertainya, menguruskan, mempromosikan, mengarahkan penderaan atau menerima wang dan sebagainya.

Bagi kesalahan ini, kerajaan mencadangkan kepada parlimen supaya pelakunya dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.

Seksyen 15B RUU itu pula membabitkan kesalahan menggunakan imej seksual kanak-kanak untuk memeras ugut, mengancam seorang kanak-kanak dengan menghantar lebih banyak gambar, video, memberi wang atau melakukan seks dengan pelaku. 

Dalam perbahasannya, Mas Ermieyati turut menyatakan bahawa Malaysia harus mencontohi Indonesia dalam menghukum pesalah seksual.

“Sebagaimana di Indonesia, kita letakkan, dimandulkan pelaku itu dengan guna ubat-ubatan tertentu bagi menurunkan testosterone dan tabiat seksual mereka,” katanya.

[Baca berita penuh]