Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU kesalahan seksual kanak-kanak dilulus Dewan Rakyat

PARLIMEN | Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu kepada kanak-kanak diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan dibahaskan 10 ahli parlimen.

Menurut Azalina RUU itu antara lain adalah untuk menggantikan terminologi "pornografi kanak-kanak" kepada "bahan penganiayaan kanak-kanak" dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Sungguhpun kelihatan seperti penggantian istilah sahaja, ia memberi kesan yang besar kepada perspektif dan gambaran tahap keseriusan serta perihal sebenar sifat jenayah eksploitasi dan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Azalina berkata perkataan pornografi tidak hanya merujuk kepada seksual tetapi juga penggunaan perkataan yang wujud dalam teknologi.

“Sekarang ni perkataan porn tu tidak semestinya perkataan yang kotor.

“Kalau kita kekalkan perkataan 'pornografi’ itu, kadang-kadang orang boleh wujudkan sebagai contoh dalam pemikiran kanak-kanak ayat yang wujud dalam teknologi.

“Contohnya food porn itu makanan ataupun poverty porn, jadi tak semestinya pornografi itu hanya kepada seksual.

"Bila berhadapan kanak-kanak, ketidakfahaman mereka itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka boleh terkeliru untuk memahami bahawa perkara ini boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu ketika membentangkan rang undang-undang itu, Azalina berkata seksyen baru 15A yang memperuntukan kesalahan mengenai persembahan seks, bertujuan untuk menangani isu seks penstriman langsung yang semakin berleluasa.

Melalui penggubalan seksyen 15A yang baru, katanya, bukan sahaja orang yang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, bahkan semua pihak seperti penganjur, orang tengah, atau mana-mana sindiket yang terlibat dalam melakukan kesalahan persembahan seksual kanak-kanak.

Menurut Azalina hukuman yang dicadangkan adalah pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM50,000.

- Bernama

Lihat Komen
ADS