Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri Musa Hassan fail penceraian, sebak ketika beritahu media
Diterbitkan:  Mar 30, 2023 12:29 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Isteri bekas ketua polis negara, Elly Afizahwati Abdul Jalil  memfailkan permohonan cerai dengan Musa Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Elly, 42, membuat permohonan itu atas alasan shiqaq (perbalahan berpanjangan) dengan Musa yang dikahwininya 10 tahun lalu, menurut laporan media. 

Dia diwakili peguam syarie, Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud.

Permohonan cerai itu dikemukakan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Musa Hassan

Sebelum ini, tersebar klip video memaparkan lelaki seakan Musa berbalah dengan seorang wanita.

Klip video itu menggambarkan seorang wanita bercakap dengan seorang lelaki di dalam sebuah rumah. Seorang kanak-kanak turut kelihatan.

Pada satu ketika, ketika lelaki yang dikatakan menyerupai Musa cuba bergerak ke arah pintu di rumah itu, wanita berkenaan kedengaran meminta telefon bimbitnya dipulangkan.

Selepas tular video itu, Musa Hassan menggesa orang ramai menghormati privasinya dan tidak masuk campur.

Malah dia memberi amaran mengambil tindakan undang-undang jika terhadap pihak yang membuat spekulasi.

Sementara itu, Elly berkata akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak yang berusia lapan tahun.

"Tan Sri (Musa) pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun," katanya.

Dia kelihatan sebak ketika memberitahu perkara itu kepada pemberita hari ini.

Mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013.

Sementara itu, media turut melaporkan Elly mengecam penyebaran video pergaduhan rumah tangganya, antaranya kerana mendedahkan wajah anak kecilnya.

"Telefon bimbit mengandungi video tersebut telah diserahkan kepada polis, jadi saya tidak pasti sama ada ia tersebar kerana orang dalaman atau tidak," katanya.

Dia juga berkata telah membuat laporan at laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan penularannya setelah melihatnya di TikTok.

Dia juga berkata video itu boleh melindungi dirinya dan menjadi bukti di Mahkamah Syariah kelak.

Polis juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya.

Lihat Komen
ADS