Kos haji: PAS cadang kerajaan turut bantu jemaah T20
PAS mengemukakan beberapa cadangan yang diharap mereka dipertimbangkan kerajaan bagi mengurangkan bebanan kenaikan kos kepada bakal haji.
Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata ia termasuk golongan berpendapatan tinggi (T20) yang perlu dipertimbangkan bantuan.
“Kerajaan tidak boleh menggunakan kaedah pukul rata kepada semua golongan T20.
"Justeru kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan juga bantuan kepada golongan terbabit berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini dilaporkan meneruskan bantuan kewangan haji bersasar walaupun kos bagi menunaikan ibadah itu meningkat kepada RM30,850 seorang tahun ini berbanding RM28,632 pada tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi membiayai Bantuan Kewangan Haji (Hafis) bersasar untuk jemaah haji bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.
Dia berkata kumpulan B40 akan menerima bantuan Hafis berjumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan M40 akan menerima bantuan sejumlah RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji.
“Walaupun ada peningkatan kos, namun kerajaan akan menanggung RM1,000 dan bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang, sama dengan kadar tahun lalu,” katanya.
Tambah Amrin bagi seorang jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan haji dalam kumpulan M40, bayaran haji meningkat sebanyak RM3,000 kepada RM15,980 seorang, sementara bagi T20 mereka perlu menanggung kos haji sepenuhnya sebanyak RM30,850 seorang.
Khairil Nizam yang juga anggota Parlimen Jerantut berkata, PAS menyedari kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 dan golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji.
katanya PAS turut mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang lebih RM3,000 dari akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pencarum yang akan menunaikan haji.
“PAS berharap menteri agama mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/a672e13da1cda19015485300d341e31d.jpg)
