MCA ke China: Tiada satu sen pun wang rakyat digunakan, kata Wee
Presiden MCA Wee Ka Siong menegaskan kehadirannya di China sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu tidak melibatkan wang rakyat.
Sebaliknya kata bekas menteri pengangkutan itu, segala perbelanjaan yang dikeluarkan ditanggungnya sendiri.
"Untuk makluman, saya telah dijemput untuk menyertai perdana menteri dalam lawatan rasminya ke Beijing.
"Manakala perbelanjaan adalah ditanggung oleh saya sendiri. Ditegaskan, tiada satu sen pun wang rakyat digunakan," katanya hari ini.
Wee membuat penjelasan itu bagi menjawab kenyataan Adun Bandar Baru Klang, Selangor daripada DAP, Teng Chang Khim, yang mempersoalkan kehadiran Wee semasa lawatan Anwar ke Beijing.
Teng dalam kenyataan di Facebook mendakwa Wee menyalahgunakan wang awam apabila turut sama dalam sesi lawatan rasmi berkenaan.
"Lawatan ke China adalah aktiviti diplomatik di antara dua negara yang diketuai oleh perdana menteri dan lawatan kehormat ke CCP adalah aktiviti antara parti politik, bukan aktiviti rasmi, dan merupakan penyalahgunaan wang awam," dakwa Teng.
Menurut Wee, bukan dia saja yang menanggung sendiri perbelanjaan berkaitan, malah pemimpin MCA lain yang bersama juga bertindak sebegitu.
"Pemimpin MCA yang bersama saya juga menggunakan perbelanjaan mereka sendiri dan tidak menggunakan mana-mana dana awam," tegas ahli parlimen Ayer Hitam itu.
Mengulas lanjut, Wee menyatakan rasa kesal dengan dakwaan Teng dan mempersoalkan motif kritikan tersebut.
"Kenapa Teng Chang Khim melakukan serangan yang begitu keji sedangkan kami berhak untuk melakukan kunjungan hormat tersebut?
"Dakwaan yang mengatakan kami menyalahgunakan wang awam atau ditaja oleh agensi kerajaan adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak benar sama sekali," katanya.
Menurut Wee adalah lebih "murni" jika Teng menyelidik terlebih dulu maklumat yang sebenar sebelum membuat kenyataan.
"Alangkah murni dan baiknya jika Teng Chang Khim mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan sedemikian.
"Sekiranya Teng ingin menaja sendiri lawatan diplomatik ke China, dipersilakan, tiada isu bagi MCA," katanya.
Jelas Wee, sebelum Anwar tiba di Beijing lagi pihaknya sudah mengaturkan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perhubungan Antarabangsa China (IDCPC), memandangkan hubungan MCA-CPC telah pun terjalin lama sejak 1994.
"Pertemuan dengan pemimpin CPC adalah untuk mempromosikan hubungan dua hala Malaysia - China.
"Kami berharap melalui sesi dialog dan interaksi mengenai pembangunan negara kita akan dapat mengukuhkan lagi hubungan, yang merupakan objektif lawatan ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/694384bdf496dd8e75c058c3830882dc.jpg)
