Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM: Barisan Exco Melaka akan cerminkan kerajaan perpaduan

Ketua Menteri Melaka yang baru Ab Rauf Yusoh membayangkan Adun dari PH akan menyertai barisan Exconya nanti.

Dalam satu hantaran di laman sosial Facebook rasminya, Ab Rauf berkata dia akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Dia menegaskan kerajaan baru Melaka nanti adalah sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil, sebuah kerajaan perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

Dalam hantaran sama, Ab Rauf berkata dia akan merangka Pelan 100 Hari yang baru untuk menjana lebih banyak pelaburan dan pekerjaan buat Melaka.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” menurut hantaran itu.

Ab Rauf yang merupakan Adun Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 semalam menggantikan Adun Lendu Sulaiman Md Ali yang melepaskan jawatannya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS