‘Ketuk-ketuk’ kejut sahur merupakan tradisi yang masih diamalkan penduduk Taman Setia, Balakong, Cheras setiap kali kedatangan bulan Ramadan sejak ia mula diperkenalkan pada sekitar 1980an.
Aktiviti ini bermula seawal jam 3.30 pagi dan dianggap sebagai ‘jam loceng’ bagi mengejutkan penduduk beragama Islam untuk bangun bersahur.
Asrar Sulaiman, antara anak muda yang terlibat dalam aktiviti itu berkata, tradisi tersebut diwarisi sejak datuk dan nenek mereka daripada suku kaum Boyan mendiami kawasan itu.
“Aktiviti kejut sahur ini bermula tahun 1980an semasa datuk dan nenek kami tinggal di setinggan. Sudah tiga atau empat generasi mewarisi aktiviti ini,” kata Asrar.
Menerusi aktiviti itu, peserta menggunakan muzik tradisional seperti kompang dan gendang untuk mengejutkan penduduk bangun dan bersahur.
Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Kini program ketuk-ketuk kejut sahur diteruskan generasi muda dan menjadi medan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara mereka.






