Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akan ada lagi ahli politik ikut jejak Annuar sertai PAS - Samsuri
Diterbitkan:  Apr 2, 2023 10:39 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

PAS mengalu-alukan penyertaan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa ke dalam parti itu seperti mana ahli-ahli politik lain yang akan turut mengikut jejak langkah berkenaan, kata Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Samsuri dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata PAS berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran Umno dan bekas menteri.

“Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Annuar bersedia menyertai PAS bagi meneruskan karier politiknya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU) lalu.

Menurut sumber bekas Setiausaha Agung Umno itu telah mengisi borang keahlian PAS dan pengumuman tersebut dijangkadibuat selepas Aidilfitri.

Annuar dipecat daripada Umno Disember tahun lalu. Sebelum itu dia disingkirkan daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN kerana dilihat cenderung kepada Bersatu.

Sementara itu, Samsuri berkara beberapa ahli politik yang kecewa dengan kepimpinan parti akan turut menyertai PAS tidak lama lagi. Bagaimanapun, dia enggan mengulas .

"Insya-Allah ada, tetapi tak boleh sebut nama lagi, ia tidak terhenti di situ saja," katanya dipetik Berita Harian.

Dalam perkembangan lain, Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu, berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.

“Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.

Pada Februari lalu, Samsuri berharap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

Timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan mendedahkan wang ehsan bernilai RM1.69 bilion telah dibayar kepada Terengganu manakala Kelantan menerima RM344.60 juta pada 2022.

Lihat Komen
ADS