MP cadang pelepasan cukai pada syarikat ambil veteran tentera
Anggota parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid mencadangkan pelepasan cukai kepada syarikat yang mengambil veteran tentera sebagai tenaga kerja.
Jika tidak, katanya, geran atau insentif kewangan lain perlu diberikan untuk mengimbangi kos latihan dan mengintegrasikan mereka ke alam pekerjaan.
Katanya, tindakan itu perlu dilaksanakan susulan banyak syarikat teragak-agak untuk mengambil veteran kerana dikatakan kurang kemahiran dan pengalaman.
“Ini boleh menjadi insentif yang sangat menarik kepada perniagaan kecil atau syarikat permulaan (startup), yang mungkin lebih teragak-agak untuk menanggung kos tambahan untuk mengambil dan melatih pekerja baharu,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Syerleena berkata golongan veteran tentera memerlukan manfaat yang lebih baik sebagai tanda penghargaan ke atas perkhidmatan mereka.
Perkara itu sekali gus dapat memastikan mereka terus terjaga selepas tamat perkhidmatan tentera, katanya.
“Ini disebabkan oleh peralihan kehidupan tentera kepada awam boleh menjadi cabaran yang besar bagi veteran tentera, terutamanya melibatkan pencarian pekerjaan yang sesuai buat mereka,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/2ab0dc193e7ec53fdde9279db54164df.jpg)
