Tiada data peribadi dari Jabatan Imigresen Malaysia terjejas atau dibocorkan dalam serangan siber awal pagi tadi yang menyaksikan laman sesawang rasmi agensi itu ditutup untuk penyelenggaraan, kata ketua pengarah Ruslin Jusoh.

“JIM menegaskan bahawa tiada kebocoran data berlaku dan orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan atau kekacauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia juga mengesahkan serangan siber oleh individu yang bernama 'CaptainSmok3r' itu dikesan pada jam 2 pagi tadi.

"Serangan siber itu berbentuk defacement dan mengakibatkan muka hadapan laman sesawang JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.

"Bagaimanapun capaian-capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden tersebut," katanya.

Awal hari ini, laman sesawang JIM ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

JIM juga memaklumkan sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan mereka boleh diperolehi dengan menghubungi Sistem Pertanyaan Dalam Talian (SPO) di https://eapp.imi.gov.my/.

"Sebarang kesulitan amat dikesali,” kata JIM itu dalam hantarannya di Facebook.

Ruslin juga mengesahkan bahagian teknologi maklumat dan rekod JIM bekerjasama dengan Cybersecurity Malaysia untuk memperkukuh keselamatan digital mereka.

"Laman sesawang JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat petang ini," katanya.