Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 exco baru Melaka janji beri khidmat terbaik 
Diterbitkan:  Apr 5, 2023 1:08 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Senarai baharu barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka mencerminkan kematangan politik baharu untuk keharmonian dan kesejahteraan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Seah Shoo Chin.

Wakil tunggal Pakatan Harapan (PH) yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata beliau bersedia memberi komitmen penuh kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Walaupun ini kali pertama saya dilantik jawatan Exco, saya yakin dapat menggalas tanggungjawab yang diberikan ini dengan kerjasama daripada agensi dan jabatan di bawah portfolio saya.

"Menerusi lantikan Exco ini, saya perlu belajar lebih banyak lagi berkaitan portfolio saya dan berharap lebih banyak masalah dan isu rakyat dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKNM) di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Seah yang juga Setiausaha DAP Melaka berkata pelantikan wakil PH dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu dilihat akan memperkukuh hubungan erat antara semua komposisi parti terlibat sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dalam pelbagai aspek.

Seah merupakan antara tiga muka baharu daripada keseluruhan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Exco kerajaan Melaka.

Dua lagi muka baharu ialah ADUN Asahan Fairul Nizam Roslan dan ADUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Sementara itu, Fairul Nizam yang dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital berkata portfolio yang digalasnya agak mencabar tetapi pelantikan jawatan Exco berkenaan bersesuaian dengan tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan UMNO Melaka.

"Sudah semestinya saya berasa gembira tetapi sedikit gemuruh dengan pelantikan sebagai Ahli MMKN dan tanggungjawab ini akan digalas dengan sebaik mungkin untuk membantu Ketua Menteri Melaka," katanya.

Beliau berkata antara perkara yang akan diberi perhatian ialah memastikan lebih banyak menara telekomunikasi di negeri itu dapat dibina segera selaras dengan sasaran kerajaan negeri ke arah menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih baik dan menyeluruh khususnya menjelang Tahun Melawat Melaka pada 2024.

Hameed pula berkata bukan mudah untuk menggalas dua tanggungjawab besar sebagai Ahli MMKN dan ADUN, namun beliau yakin dapat menjalankan tugas berkenaan dengan sebaiknya.

"Sedikit terkejut dengan portfolio yang dilantik kerana malam tadi saya dimaklumkan portfolio berkenaan lain tetapi saya terima tanggungjawab ini dan berjanji akan memberikan komitmen penuh untuk rakyat Melaka," katanya yang dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS