Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada masalah untuk golongan anak muda membuat sebarang demonstrasi atau bantahan, seperti yang dilakukannya sekitar tahun 70-an atau 80-an dalam menyampaikan ketidakpuasan hati.

Katanya, selagi mahasiswa dan pelajar mengikut peraturan serta tidak membawa pemahaman ekstrem berkaitan perkauman dan agama, maka kerajaan akan membenarkannya.

“Jadi apakah perlu saudara buat demonstrasi atau bantahan…yang kita buat dahulu (ketika Anwar mengetuai kepimpinan mahasiswa) sebab tiada ruang.

“Kalau ada masalah dengan kementerian, biar menteri dengar dan arahan kita adalah memberikan ruang untuk mahasiswa mengeluarkan pandangan. 

“Tidak perlu mengambil jalan seperti yang kita lakukan dahulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Perdana Menteri bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia di Shah Alam hari ini. 

Berkenaan  Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Anwar berkata akta berkenaan tidak sesuai untuk dibatalkan namun boleh dipinda mengikut kesesuaian. 

“Beberapa peruntukan lain dalam akta itu penting, jadi untuk membatalkannya saya fikir itu tidak sesuai sebagaimana disebut menteri kita boleh pinda beberapa peruntukan yang perlu diperjelas,” katanya.

Menurut Anwar yang juga adalah bekas pemimpin pelajar, perkara memperhalusi kebebasan itu sudah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan kementeriannya.

“Tetapi, dalam pendidikan tinggi harusnya ada akta, pengawalan IPTA dan IPTS mungkin berbeza sama ada digabung atau digarap itu saya tiada pandangan keras, itu terserah.

“Tetapi apa yang dibangkitkan tentang AUKU itu penting. AUKU ini, peruntukan tentang kebebasan kegiatan mahasiswa itu boleh diperhalusi atau akademik, profesor dan pensyarah boleh menulis dan memberikan pandangan termasuk kritikan,” katanya.

Anwar juga mengingatkan mahasiswa bahawa pendidikan yang diperoleh mereka seharusnya dapat membina adab dan ketamadunan yang tinggi dan bukan bertujuan untuk mendapatkan jawatan, kedudukan serta kuasa.

Beliau berkata di bawah Kerajaan Madani pimpinannya, beliau dengan jelas membantah dan melontarkan asakan yang kuat kepada kelompok penguasa elit yang menggunakan kuasa untuk membolot kekayaan negara dan menggunakan jawatan untuk mengkayakan kroni dan sanak saudara. 

"Saya asak dan bukan sahaja bantah tindakan ini tetapi pemikiran ini harus dirombak," katanya.

Justeru, katanya anak-anak mahasiswa harus membawa paradigma dan pemikiran baharu yang menjadikan pendidikan itu dapat membina adab dan ketamadunan. 

"Saudara (mahasiswa) bertanggungjawab bukan sahaja membina profesion dan keluarga tetapi membina tamadun dan tamadun itu tegak dengan keyakinan dengan nilai dan ilmu yang tinggi," katanya.

Berkenaan jaminan bagi mempertahankan hak institusi UiTM untuk kaum Melayu dan bumiputera, Anwar berkata kerajaan konsisten dalam mempertahankan universiti itu. 

“Ini antara fitnah yang disebarkan bahawa jika Anwar jadi perdana menteri, UiTM akan ditutup… Padahal kalau saudara tahu sejarah saya semasa memimpin mahasiswa antara yang paling keras adalah bagi penubuhan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan menuntut ITM pada masa itu dinaik taraf kepada UiTM.

“Banyak orang yang berjasa mengenai perkara itu tetapi kita konsisten dalam bab itu dan tidak pernah membangkitkan, malah dalam kerajaan Perpaduan hari ini kita tidak meninggalkan aspek ini kerana ini adalah kenyataan,” katanya.