Insiden baling botol air dan batang bendera cemari penamaan calon Ijok
Kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pagi ini yang membabitkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pagi ini yang membabitkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Polis, dengan bantuan anggota Unit Simpanan Persekutuan, bertindak pantas memisahkan penyokong kedua belah pihak yang berasak-asak di situ bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Insiden itu berlaku di luar Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai, tempat proses penamaan calon diadakan pagi ini apabila penyokong kedua belah pihak mengejek satu sama lain.
Berikutan itu, berlaku insiden membaling botol air. Dipercayai beberapa orang tercedera dalam kejadian tersebut.
Manakala Bernama pula melaporkan, kekecohan itu dilaporkan berlaku apabila penyokong BN dan pembangkang bertembung dalam perjalanan menuju ke pusat penamaan calon.
Ketika itu pasukan penyokong BN sedang menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan perarakan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Batang Berjuntai yang terletak 200 meter dari pusat penamaan calon.
Manakala pasukan penyokong PKR yang mengiringi calon mereka, Tan Sri Khalid Ibrahim, memulakan perarakan pada jam 8.45 pagi dari pusat bilik gerakan parti itu, menuju ke pusat penamaan calon.
Bagaimanapun, ketika pasukan PKR melalui kumpulan penyokong BN, yang sedang berkumpul di tengah jalan utama ke pusat penamaan calon, berlaku insiden tolak-menolak akibat perbuatan ejek-mengejek antara kedua-dua pihak.
Keadaan itu yang berlaku kira-kira 10 minit dan berjaya dikawal apabila beberapa anggota polis dan anggota BN mengarahkan semua penyokong mereka, memberi laluan kepada perarakan pembangkang untuk menuju ke pusat penamaan calon.
Dalam sidang akhbar berasingan kemudiannya, Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, dua penyokong pembangkang cedera dalam insiden tersebut, manakala Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, beliau tidak tahu sama ada berlaku kecederaan di kalangan penyokong BN.
Parthiban lwn Khalid
Sejurus sebelum itu, hanya dua calon - dari BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) -yang mengemukakan kertas penamaan calon bagi pilihanraya kecil Ijok yang ditetapkan pada 28 April ini.
Tiada calon bebas yang mengemukakan borang penamaan calon walaupun sebelum ini terdapat spekulasi seramai empat individu akan berbuat demikian.
Yang pertama mengemukakan borang penamaan calon ialah K Parthiban, 38, dari Calon BN pada kira-kira jam 9.20 pagi, diikuti oleh Khalid, 61, dari PKR kira-kira 15 minit kemudiannya.
Parthiban, yang merupakan setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, diiringi oleh kira-kira 5,000 penyokong.
Khalid, yang juga bendahari agung PKR dan pengerusi PKR Selangor, pula diiringi oleh kira-kira 2,000 penyokong.
Selepas tamat waktu bantahan pada 11.10 pagi, pegawai pengurus pilihanraya kecil Ijok, Haris Kasim mengumumkan pertandingan pada 28 April ini adalah satu lawan satu antara BN dan PKR.

