Pasukan khas PDRM buka 7 kertas siasatan kes 3R
Pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh PDRM untuk menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) telah membuka tujuh kertas siasatan sejak penubuhannya pada 22 Mac lalu.
Setiausaha PDRM, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, setakat ini dua suspek ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang suspek masih dikesan.
"Daripada tujuh kertas siasatan, tiga telah dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya dalam kenyataan.
Justeru Noorsiah berkata pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.
"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan," katanya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha untuk menghasut sentimen perkauman atau agama di negara ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
