Zahid beri jaminan Hajiji ketua menteri Sabah hingga habis penggal
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kedudukan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri akan terus kekal sehingga habis penggal pada tahun 2025.
Presiden Umno itu berkata, kerajaan perpaduan yang wujud sama ada di peringkat pusat dan negeri Sabah mempunyai jalinan hubungan yang erat.
"Kita berada dalam fasa atau ruang di mana kita terus berhasrat untuk mewujudkan situasi tenang di antara pelbagai parti di negeri Sabah ini.
"Untuk Umno sendiri, saya memberitahu rakan-rakan saya daripada Umno-BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang mengguris perasaan atau hati mana-mana pihak.
"Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan. Kita mencari cara terbaik supaya kerajaan yang sedia ada dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum (PRN) yang akan datang," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan bertempat di Masjid Jamek Kampung Benoni, di Papar hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata pihaknya berharap pemegang jawatan sedia ada dikekalkan seperti yang dipersetujui.
"Pada waktu sama, kita juga mengharapkan agar jawatan sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan atau ketua kampung hendaklah dikekalkan seperti yang mana telah dipersetujui.
"Kita tidak mahu ada penukaran disebabkan perkara-perkara (berkaitan kemelut politik) di antara Semenanjung dan Sabah," katanya.
Hajiji yang kini merupakan presiden Gagasan Rakyat Sabah (GRS), dilantik sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri Sabah pada 2020.
Pada masa itu, dia masih merupakan pemimpin Bersatu dan membentuk kerajaan negeri bersama BN sehingga selepas pilihan raya umum ke-15 lalu.
Pada Januari lalu kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Hajiji goyah selepas Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap Hajiji, diikuti Peter Anthony daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Pada masa itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/79c02a4e8e25c1b6164c44f9e1e8c34c.jpg)
