Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengeluaran kecemasan KWSP lebih baik dari pinjaman bercagar'
Diterbitkan:  Apr 9, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Langkah membenarkan pencarum membuat pengeluaran terus daripada akaun dua KWSP adalah pilihan lebih baik berbanding menjadikannya cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan dengan bank, kata Johari Abdul Ghani.

Bekas timbalan menteri kewangan II itu berkata pinjaman bercagar KWSP akan membebankan pencarum kerana mereka perlu membayar kadar faedah kepada bank.

Katanya, permohonan pinjaman kecemasan juga akan mengambil masa sebelum pencarum mendapat kelulusan daripada bank.

“Awak hendak pinjam RM100,000 mungkin bank hanya boleh beri pinjam RM70,000 sahaja. Tapi awak kena bayar juga faedah serta ia juga mengambil masa untuk diproses oleh bank.

“Katakan umur ketika mahu membuat pinjaman adalah 50 tahun dan awak akan bersara ketika umur 60 tahun. Dalam tempoh 10 tahun pinjaman itu kita kena bayar faedah. Kalau awak pinjam RM70,000 bayar faedah katakanlah lima peratus setahun iaitu RM3,500.

“Untuk 10 tahun faedah sahaja RM35,000. Maknanya, awak ambil pinjaman RM70,000 dan faedah selama 10 tahun sebanyak RM35,000.

“Jumlah bersih yang awak terima daripada pinjaman adalah RM35,000. Kalau itu sahaja jumlahnya adalah lebih baik gunakan sahaja duit KWSP secara terus RM35,000. Tak payah nak bayar faedah,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, hari ini.

Johari yang juga anggota parlimen Titiwangsa berhidmat sebagai timbalan menteri II antara Jun 2016 hingga Mei 2018 di bawah pentadbiran Najib Razak.

Dia berkata demikian ketika mengulas berhubung langkah kerajaan memperkenalkan kaedah bagi membolehkan pencarum KWSP yang memerlukan membuat pinjaman bank dengan akaun KWSP mereka dijadikan cagaran.

Terdahulu Pardana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada bulan lalu.

Sementara itu Johari turut mengkritik pentadbiran kerajaan terdahulu yang melaksanakan kaedah pengeluarkan wang KWSP kerana langkah iu turut dibenarkan kepada mereka yang tidak terkesan dengan pandemik Covid-19.

“KWSP sudah keluarkan RM145 bilion sepanjang dua tahun Covid-19. Silap kerajaan juga sebab pertama mengapa duit KWSP itu turut diberikan kepada mereka yang tidak terkesan kehilangan pekerjaan seperti kakitangan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain.

“Apabila semua orang dibenarkan keluar duit KWSP tanpa sebab ia menyebabkan KWSP terpaksa menjual pelaburan jangka masa panjang mereka untuk menampung pengeluaran tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS