Seorang lelaki yang gambarnya tular di media sosial dengan memakai pakaian berwarna jingga bukan tahanan lokap, kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.

Sebaliknya, Alexson berkata lelaki terbabit hanyalah seorang gelandangan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit merupakan seorang gelandangan yang sering berkeliaran di sekitar bandar Miri dan tiada sebarang kesalahan jenayah dikesan ke atasnya.

"Malah, tiada perkataan lokap ditulis pada bahagian belakang bajunya seperti baju lokap yang sering dipakai tahanan," katanya dipetik Utusan Borneo.

Terdahulu, Alexson dimaklumkan tentang gambar seorang lelaki yang memakai pakaian berwarna jingga menyerupai baju lokap tular di media sosial, semalam.

Menurut Alexson, berikutan penyebaran gambar itu juga sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri melakukan pemeriksaan ke atas lelaki terbabit.

Mengulas lanjut, Alexson bagaimanapun berkata tidak dapat dipastikan berapa umur lelaki terbabit kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri semasa diperiksa polis.

Sehubungan itu, Alexson menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu.

Katanya, polis amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam membantu menyalurkan maklumat serta menjaga kesejahteraan dan keamanan bersama.