Kekecohan yang berlaku pada hari penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok hari ini boleh dielakkan jika Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil langkah awal untuk mencegahnya, kata Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel).

Pengerusinya, Abdul Malik Hussein berkata, MDKS tidak menyediakan ruang yang mencukupi untuk penyokong kedua-dua belah pihak semasa mereka mengiringi calon masing-masing.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan mereka bersesak-sesak dan pada masa yang sama, berlaku sindir menyindir antara satu sama lain.

"Apabila tidak tahan disindir dan hati mula panas, mereka pula melontar botol air dan batang bendera ke arah penyokong lawan.

"Kekecohan ini boleh dielak jika penyokong kedua-dua belah pihak diasingkan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai di Kuala Selangor hari ini.

Hanya calon Barisan Nasional (BN), K Partiban dari MIC dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyerahkan borang penamaan calon masing-masing, walaupun sebelum ini beberapa individu dikatakan berminat bertanding sebagai calon bebas.

Insiden itu berlaku di luar Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai, tempat proses penamaan calon diadakan pagi ini apabila penyokong kedua belah pihak mengejek satu sama lain. Berikutan itu, mereka mula membaling botol air dan batang bendera ke arah satu sama lain.

Boleh ambil tindakan

Polis, dengan bantuan anggota Unit Simpanan Persekutuan, bertindak pantas memisahkan penyokong kedua belah pihak yang berasak-asak di situ bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Sepatutnya, kata Abdul Malik, pihak polis bertindak lebih awal dan bukannya membiarkan kekecohan itu berlaku.

"Sepatutnya pihak polis sudah tahu mengenai pergerakan kedua-dua kumpulan penyokong BN dan pembangkang dan mengambil tindakan awal bagi mengelak berlaku kekecohan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Omar, ketika ditemui berkata, kekecohan yang berlaku hari ini adalah di luar tanggungjawab suruhanjaya itu.

Katanya, kejadian membaling botol dan batang bendera merupakan kesalahan menganggu ketenteraman awam dan polis boleh mengambil tindakan ke atas kumpulan penyokong terbabit.

Beliau berkata, polis boleh mengambil tindakan melalui Akta Polis, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ke atas mereka yang melanggar peraturan pilihanraya.

"SPR akan melaksanakan sepenuhnya Akta Pilihanraya bagi memastikan proses pilihanraya kecil Ijok berjalan lancar," katanya.

Wan Ahmad juga mengingatkan penceramah dan pihak akhbar supaya tidak membocor rahsia rasmi kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak.

Katanya, pemantau pilihanraya yang terdiri daripada wakil SPR, PBT, polis dan wakil kedua-dua calon akan membuat laporan kepada pengurus pilihanraya jika calon atau penyokongnya melanggar peraturan pilihanraya.