Op anjing liar: Tiada pertuduhan terhadap anggota MBPJ
Tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang didakwa mengasari seorang warga emas sewaktu menjalankan operasi menangkap anjing liar pada Mac lalu.
Menurut Unit Koperasi Korporat MBPJ, siasatan menunjukkan kejadian yang membabitkan seorang lelaki - yang kemudian menjadi pengadu dalam kes tersebut - secara tidak sengaja.
“Pengadu (Patrick Khoo Kian Wui) telah dituduh di mahkamah Petaling Jaya pada 31 Mac 2022 manakala tiada pertuduhan terhadap anggota MBPJ dibuat kerana alat penangkap anjing terkena muka pengadu dengan tidak sengaja semasa pergelutan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia dikeluarkan MBPJ berdasarkan maklum balas rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya
Untuk rekod satu laporan polis dibuat oleh Khoo pada 24 Mac 2023 mendakwa anggota MBPJ mencederakannya semasa operasi menangkap anjing liar dua hari sebelum itu.
Menurut MBPJ, sebuah jawatankuasa turut menjalankan siasatan dalaman dan mengesyorkan agar tatacara proses melaksanakan operasi menangkap anjing dilar ditambah baik.
Misalnya pengenalan kepada tahap risiko operasi bagi menentukan kaedah yang akan dilaksanakan.
Sebelum ini, polis menjalankan siasatan terhadap sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan insiden pergelutan di antara anggota MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.
Lelaki itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar dengan memasukkan haiwan terbabit ke dalam premisnya, menyebabkan pasukan penangkap anjing MBPJ bertindak menghalang sebelum berlaku pergelutan.
Insiden tersebut menyebabkan bahagian muka lelaki warga emas itu terkena rod penangkap anjing. Rakaman CCTV kejadian itu turut tersebar di media sosial.
Tambah MBPJ pada masa akan datang, operasi berisiko yang rendah akan dijalankan dengan kakitangan terbabit dilengkapi kamera badan, manakala pegawai mereka pula mengambil gambar untuk direkodkan.
Bagi operasi berisiko tinggi pula, ia akan dijalankan secara bersepadu bersama pihak polis.
“Bagi memastikan proses menangkap anjing liar ini lebih telus, MBPJ akan turut menjemput wakil NGO dan persatuan penduduk bersama-sama semasa operasi,” katanya.
Pada masa sama, MBPJ berkata masalah gangguan anjing liar tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditangani segera khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain daripada mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising terutama semasa bergaduh atau menyalak pada waktu malam, kata MBPJ, haiwan terbabit juga mengotorkan kawasan sekitar
Selain itu katanya anjing liar juga merupakan ancaman kepada keselamatan serta kesihatan orang awam terutama kanak-kanak.
“Selain kucing liar, kelawar dan monyet, anjing liar merupakan ejen utama pembawa rirus Rabies atau anjing gila," katanya.
Pada 31 Mac lalu, Khoo, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya atas pertuduhan menghalang penjawat awam dalam operasi penangkapan anjing liar itu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa membenarkan Khoo diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/b4d09da51439cd65db368433ee217d4d.jpg)
