Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas OKU rentung dalam kebakaran rumah kedai
Diterbitkan:  Apr 12, 2023 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Seorang lelaki dipercayai warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari di George Town, awal pagi hari ini.

Mayat mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan di atas lantai di dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai Mohd Shafie Mohamad Safar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.11 pagi dan jentera pertama terus ke lokasi kebakaran.

"Ketika pihak bomba tiba api sedang marak membakar rumah kedai dua tingkat dan berdasarkan maklumat awal yang diterima terdapat seorang penghuni terperangkap di dalam premis itu.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran rumah kedai berkeluasan 130 meter persegi itu pada 4.43 pagi daripada merebak ke premis lain dan api dipadam sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Mohd Shafie berkata berkata pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

"Kemungkinan ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca (kebakaran).

“Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata deretan rumah kedai tersebut dimiliki sebuah persatuan dan premis nombor enam yang terbakar itu disewakan kepada seorang lelaki berusia 65 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak lima tahun lepas.

Katanya pengawal keselamatan itu kemudian menyewakan pula beberapa bilik dalam rumah kedai tersebut kepada orang lain dan salah satunya kepada seorang lelaki berusia lingkungan 70-an sejak setahun lepas dengan kadar sewa RM200 sebulan.

"Butir-butir penyewa itu telah diperolehi, namun setakat ini saya belum dapat mengesahkan bahawa mangsa yang meninggal dalam kebakaran tersebut adalah penyewa lelaki Melayu yang berusia lingkungan 70-an berkenaan.

"Pihak polis masih berusaha untuk mengesahkan identiti mangsa memandangkan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai pada mangsa. Siasatan punca kebakaran masih dalam tindakan pihak bomba," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS