Perbicaraan penuh saman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan berlangsung pada Oktober ini selama 10 hari.

Peguam Zahid mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu akan berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober serta 23 hingga 27 Oktober.

Prosiding akan dikendalikan oleh hakim Rohana Ali Yusoff.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa isu-isu dalam saman fitnah Zahid lebih baik ditangani semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu.

Zahid mendakwa Muhyiddin dengan niat jahat memfitnahnya dalam acara Perikatan Nasional (PN) di Mersing pada 16 Feb, menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-15.

Zahid berkata kenyataan fitnah tersebut membawa maksud dia menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayah dan meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri perbicaraan kes, sistem kehakiman serta mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Dia antaranya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif.