Polis Melaka menjangkakan sebanyak 81,550 kenderaan berada di jalan raya di negeri tersebut sepanjang tempoh dua hari pertama perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Melaka Zainol Samah juga berkata sejumlah 48,930 kenderaan dijangka memasuki negeri itu dua hari sebelum Syawal termasuk melalui tiga tol yang merupakan pintu utama ke situ.

Zainol berkata oleh itu pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan dan penyuraian kenderaan menerusi Op Selamat 20 dalam tempoh lapan hari bermula 20 April ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Sebanyak 22 pegawai dan 137 anggota bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan lalu lintas di Melaka dalam tempoh berkenaan berjalan lancar terutama di pintu masuk tol di Melaka.

"Selain itu, bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut pada musim perayaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka akan meningkatkan rondaan, pemantauan serta pemeriksaan di lokasi kerap berlaku kemalangan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama ketua jabatan, ketua polis daerah dan pengamal media di Melaka semalam.

Zainol berkata sebanyak 13 lokasi panas dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dengan lima daripadanya di daerah Melaka Tengah serta masing-masing empat di Alor Gajah dan Jasin.

Dia berkata lokasi di Melaka Tengah membabitkan Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin), Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Mufti Haji Khalil, Jalan Sungai Udang-Selandar, Batang Tiga/Bukit Rambai/Tanjung Minyak.

"Di Alor Gajah, lokasi terlibat ialah Jalan Rembia-Kendong, Jalan Alor Gajah-Tampin, Masjid Tanah-Bukit Sedanan, Lubok China-Hutan Percha manakala di Jasin ialah Tehel-Bemban-Chabau, Jalan Merlimau-Jasin, Jalan Serkam-Kesang Tua dan Jalan Gapam-Bemban," katanya.

Zainol menambah hanya 10 peratus daripada kira-kira 3,000 perjawatan di kontinjen Melaka dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri.

Katanya tujuh lelaki berusia lingkungan 27 hingga 43 tahun ditahan kerana menjual mercun tanpa permit manakala sebanyak 1,703 kotak mercun Happy Boom pelbagai jenis dan 76 kampit mercun bola bernilai RM45,000 turut dirampas di premis kediaman serta bazar Ramadan di sekitar Melaka.

"Setakat ini, sebanyak 220 permit diluluskan daripada keseluruhan 287 permohonan lesen menjual mercun yang diterima oleh Polis Melaka," katanya.

- Bernama