Pengagihan kerusi PH, BN Kedah dijangka selesai lepas raya
BN dan PH Kedah dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN) di negeri itu selepas sambutan Aidilfitri ini.
Pengerusi Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata sesi suai kenal diadakan dalam kalangan pimpinan BN dan PH di peringkat bahagian dengan semua pimpinan dari kedua-dua gabungan itu duduk semeja melihat persediaan dilakukan.
"Kita kena kenal pasti bagaimana nak buat di sesuatu kawasan atau bahagian itu dan kemudian apabila kita selesai bab pembahagian kerusi dan sudah buat keputusan siapa bertanding di mana, selepas itu kita tentukanlah cara nak buat kerja," katanya pada sidang media di Sungai Petani, semalam.
Terdahulu, Mahdzir menghadiri majlis Sidang Meja Bulat Perpaduan 2023 yang dihadiri pimpinan BN dan PH peringkat negeri dan bahagian bertujuan bersuai kenal di pelbagai peringkat serta mengukuhkan kerjasama menjelang pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Sementara itu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar berkata pihaknya berharap pembahagian kerusi itu dapat diselesaikan sebelum Konvensyen Perpaduan Kedah yang akan diadakan pada 20 Mei ini.
Kata Mahfuz selepas sesi meja bulat semalam, BN dan PH akan membentuk majlis pimpinan perpaduan di peringkat parlimen atau bahagian bagi menentukan gerak kerja bagi menghadapi PRN.
Menurutnya selepas selesai soal pembahagian kerusi, BN dan PH akan menentukan calon menteri besar untuk dijadikan sebagai poster boy bagi menghadapi calon PN.
"Kita akan bincangkan selepas ini siapa calon menteri besar, yang pasti bukan saya, kita tak bincang (calon Menteri Besar) lagi sebab kita nak selesaikan dahulu (pembahagian) kerusi.
"Selepas itu insya-Allah kita akan tentukan, tapi yang penting calon menteri besar kita daripada gabungan perpaduan," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/41da31cdb0495a82bc9253d9f91dc5c6.jpg)
