Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan lebih menumpukan kepada isu-isu setempat dalam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang sedang berjalan sekarang, khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Sehubungan itu, Pengarah Penerangan PKR bagi pilihanraya kecil Ijok, SD Johari Mohd Yassin berkata, isu yang dianggap serangan peribadi terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dikurangkan.

Sebelum ini, pemimpin PKR, khususnya Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu-isu yang cuba dikaitkan dengan Najib seperti isu pembunuhan wanita Mongolia, isu pembelian jet Sukhoi Russia serta pembelian kapal selam dari Perancis. Empat kawasan majoriti pengundi Melayu dalam DUN Ijok ialah Sungai Darah, Jaya Setia, Bukit Badong dan Kampung Ijok.

SD Johari berkata, apa yang perlu diberi keutamaan ialah pertandingan antara calon PKR "Khalid dengan calon BN Parthiban" dan bukannya "Anwar melawan Najib".

"Kalau kita bangkitkan isu-isu tersebut, ia menjadi seolah-seolah pertandingan antara (Datuk Seri) Anwar dengan (Datuk Seri) Najib...," katanya.

Ceramah berkelompok

Berdasarkan tinjauan awal sebelum ini, SD Johari berkata, didapati pendekatanseumpama itu tidak sesuai dan tidak berkesan "kerana orang kampung tidak boleh terima isu-isu terlalu besar".

"Fokus pertandingan adalah antara Khalid dengan Parthiban...bukannya pertandingan antara Anwar dengan Najib atau BN dengan PKR," katanya.

Menurut SD lagi, setakat ini, parti itu menumpukan kepada ceramah berkelompok di tempat-tempat tertentu.

Katanya, ia dibuat mengikut kawasan majoriti kaum di daerah mengundi masing-masing - Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Naib Presiden, Dr Lee Boon Chye bertumpu ke kawasan majoriti pengundi Cina manakala Datuk S Nallakarupan di kawasan pengundi India.

"Apa yang mengembirakan ialah masyarakat India memberi sambutan kepada program yang dihadiri oleh Nalla," katanya.

Manakala PAS pula, katanya, memberi kerjasama kepada jentera kempen PKR dan ini memudahkan tugas berkempen di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Perlu kerja kuat

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kempen Umno bahagian Kuala Selangor, Daud Tarihep berkata jentera kempen pilihanraya Umno di Ijok pula perlu bekerja keras di kawasan majoriti Melayu kerana sokongan mereka kepada calon Barisan Nasional (BN) belum menyakinkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, sambutan kepada kempen yang dijalankan oleh Umno "adalah 50-50".

"Ini kerana mereka juga memberi sokongan dan sambutan kepada kempen yang dijalankan oleh pembangkang. Ini bermakna pendirian mereka sukar diramal.

"Depan kita mereka kata sokong BN tetapi di belakang, kami idak tahu pendirian mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pilihanraya kecil Ijok Partiban akan ditentang oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim pada 28 April ini.