Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Sekarang masa selamatkan negara, jangan kira slogan parti

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan Malaysia mempunyai pilihan sama ada kekal pada tahap yang lama atau bergerak maju sebagai bangsa berdaulat yang menjadi teladan buat negara lain.

"Saya yakin kita mampu melakukannya dengan syarat kita bergerak sebagai satu pasukan dan meninggalkan amalan usang yang lama - menggunakan kuasa sebagai perdana menteri, menteri kewangan, pembesar-pembesar untuk merompak kekayaan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Anwar juga membangkitkan berkaitan penggunaan slogan tertentu dalam kalangan ahli politik hingga menjejaskan usaha memulihkan negara.

"Jangan kiralah slogan Melayu ke slogan Islam ke, itu slogan parti, itu kita gunakan ketika pilihan raya, sekarang ini masa untuk kita bertindak sebagai satu pasukan untuk menyelamatkan megara kita," katanya.

Anwar turut mengingatkan Ramadan mendidik kepimpinan dan akhlak sebenar umat Islam.

"Apatah lagi apabila kita bicara di bulan Ramadan yang memang dianjurkan sebagai satu pusat latihan bulanan, sebulan (dalam) setahun yang disebut madrasah Ramadan.

"Ini kerana memperingatkan sama ada dia itu menteri atau penjawat awam atau pun mufti, semuanya kembali ke 'sekolah' untuk dapat digilap semula kefahaman mereka amalan mereka," katanya lagi.

Perdana menteri turut memberi amaran supaya mengambil iktibar keruntuhan tamadun terdahulu disebabkan amalan rasuah dan keangkuhan kuasa.

"Mereka menggunakan kuasa itu bukan lagi untuk berkhidmat, hilang idealisme yang bangkit hanya nafsu serakah semata-mata menjaga kepentingan peribadi, keluarga dan sanak saudara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS